8 perkara yang membuatkan zaman bujang anda penuh indah dan bermakna.
“Aku bosan!!” jerit Ifti Liyana tiba-tiba, apabila
mengenangkan nasibnya yang sudah lama membujang. – petikan dari Filem
Manisnya Cinta di Cappadocia.
TIdak dinafikan, hidup bujang ni memang kadang kala membosankan,
terutama buat si gadis yang bertahun-tahun setia menunggu putera pujaan
datang masuk meminang. Sunyi. Lagi-lagi disaat kawan-kawan yang lain
semua sudah berkahwin, kita tinggal seorang diri. Tambah ‘stress’ lagi
bila di ‘wall’ Facebook kita penuh dengan gambar-gambar kawan yang
teruja berkongsi kebahagiaan hidup berumah tangga. Yang sudah ada anak,
teruja mengemaskini perkembangan anak-anak pula. Kita? Akan jadi orang
pertama yang ‘like’ gambar atau post itu walaupun pedih dan perit dihati
#dramasangat.
Saat itulah emosi negatif datang. Rasa seperti diri tiada siapa yang
mahu, diri terasa terasing, dunia terasa kelam, sunyi, gelap, kosong.
(Kalau anda terkena symptom-symptom seperti ini, cepat-cepat tutup
laptop atau hp, ambil al-Quran dan BACA. Anda di ZON BAHAYA).
Sebenarnya, hidup bujang ni tidak lah seteruk dan sesunyi yang
disangka. Ramai mereka yang sudah berkahwin kadang-kadang rindu untuk
kembali kepada zaman bujang mereka. Kenapa? Kerana selepas berkahwin
baru sedar yang dizaman bujanglah hidup kita penuh dengan cerita yang
pelbagai, penuh dengan drama-drama hidup atau pendek kata, hidup zaman
bujang ni berwarna-warni. Jadi, jangan terus-terusan bersedih dan
termenung. Gunakan masa bujang yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada
kita ini sebaik mungkin.
Ini dia, 8 perkara yang membuatkan zaman bujang anda penuh indah dan bermakna!
-
Bertenang dan ceria.
Perkara utama dan sentiasa yang harus anda lakukan sebagai seorang
gadis adalah sentiasa BERTENANG dan CERIA. Untuk bertenang tidak susah.
Tanamkan keyakinan dan kepercayaan kepada janji Allah s.w.t. Di dalam
al-Quran banyak dinyatakan bahawa setiap makhluk diciptakan berpasangan
termasuklah anda. Jadi, tidak perlu resah dan khuatir. Anda ada
pasangannya, cuma masanya belum tiba. Latih diri untuk sentiasa ceria
dan gembira. Caranya juga mudah, ceriakan dan gembirakan orang lain.
Anda pasti sentiasa bahagia.
Tetapi, kita sebagai manusia memang tidak dapat lari dari sedih,
tertekan, marah atau emosi negative yang lain. Cuba elakkan dari
menampakkan emosi-emosi negatif anda dihapan orang lain. Kalau terasa
seperti ingin sedih, tertekan atau marah cepat-cepat ambil wudhu’, baca
al Quran atau solat sunat dua rakaat. Kalau tidak sempat pun, berzikir
dan selawat banyak-banyak dalam hati. InshaAllah, hati akan terus
menjadi tenang.
Bayangkan, kalau anda sendiri tidak suka mendekati mereka yang selalu
murung. Begitulah juga orang lain kalau melihat anda sentiasa murung.
Menjadi seorang yang ceria dan sentiasa gembira akan membuatkan anda
lebih menarik dan ingin didekati.
-
Jaga mak ayah anda betul-betul.
Bersyukurlah andai anda masih mempunyai mak dan ayah diwaktu bujang
ini. Kerana diwaktu inilah yang sepatutnya anda gunakan betul-betul
untuk menjaga mereka. Luangkan masa bersama mereka lebih dari masa anda
termenung memikirkan soal jodoh.
Ada yang berpendapat untuk belajar berdikari dan menjadi matang, kita
harus tinggalkan rumah mak ayah dan hidup sendiri. Bagi penulis,
pendapat itu mungkin tidak sesuai diaplikasikan oleh gadis muslimah.
Sebenarnya, tidak perlu keluar dari rumah mak ayah dan hidup sendiri
untuk belajar berdikari dan menjadi matang. Anda hanya harus tukar
peranan anda dari seorang anak yang manja dan dilayan oleh mak ayah kini
anda pula yang memanjakan dan melayan mereka. Beri atau belikan apa
yang mereka mahu. Masakkan untuk mereka. Kemaskan tempat tidur mereka.
Bawa mereka bersiar-siar. Layanlah mereka lebih daripada apa yang mereka
telah beri semasa kecil. Didik diri menjaga mak dan ayah secara
automatic akan mengajar anda menjadi seorang yang lebih matang dan
berdikari. InshaAllah, apabila anda sudah berkahwin nanti, Allah s.w.t
akan permudahkan urusan menjaga suami dan anak-anak.
-
Menyayangi anak kecil (kanak-kanak).
Sebagai seorang gadis yang penuh sifat keibuan,
memang sedih bila kita lihat orang lain menimang cahaya mata dan kita
masih lagi tidak berkahwin. Bukan cemburu, cuma rasa ingin mendapat anak
juga tersimpan dalam hasrat hati. Tetapi anda tidak perlu layan perasan
sedih dan sunyi itu. Cuba layan anak-anak kawan anda seperti anak anda
sendiri. Ataupun, kalau anda ada masa terluang pergilah melawat ke pusat
penjagaan anak-anak yatim, pusat kanak-kanak istimewa. Lakukan aktiviti
bersama mereka. Belikan hadiah untuk mereka. Ajar mereka membaca,
mengaji, mengira. Bawa mereka berjalan-jalan (dengan kebenaran ibu bapa
mereka ya. Jangan bawa lari anak orang ya J). Anda pasti rasa seronok
dan bahagia.
Meluangkan masa bersama-sama ahli-ahli syurga ini akan memberikan anda perasan yang luar biasa indahnya. Percayalah!
-
Luangkan masa untuk menghafal al-Quran.
Setiap dalam diri seorang muslimah yang solehah pasti akan ada niat
tersemat di dalam hati untuk menjadi seorang yang menghafal al-Quran.
Cuma selalunya niat akan kekal menjadi niat kalau kita tidak mulakan
tindakan dari sekarang. Waktu bujang adalah waktu yang paling afdhal
untuk kita mula menghafal al-Quran. Sekiranya kita bertangguh sehingga
sudah berumah tangga nanti, pasti banyak lagi alasan yang membuatkan
niat menghafal al-Quran ini terkubur begitu sahaja. Tidak ada istilah
lambat untuk memulakan diri menghafal al-Quran ini.
Tidak susah. Begini caranya. Mulakan dengan satu hari satu ayat
sahaja. Tubuhkan satu kumpulan whatsapp atau telegram sebagai ‘support
group’. Setiap hari anda pastikan ahli kumpulan menghantar rekod hafalan
ke dalam kumpulan whatsapp atau telegram tersebut. Tujuannya adalah
untuk menyemak bacaan oleh ahli yang lain. Selain itu, anda akan rasa
lebih termotivasi apabila ahli kumpulan masing-masing menghantar hafalan
mereka.
Bayangkan, walaupun setiap hari anda hanya menghafal satu ayat
al-Quran. Lama kelamaan anda akan dapat menghafal semushaf al-Quran.
Kalau tidak pun, seandainya anda dijemput pulang kembali ke pangkuan
Allah s.w.t. Anda akan meninggal dunia dalam keadaan sedang bermujahadah
menghafal al-Quran. Subhanallah.
-
Amalkan gaya hidup sihat.
Mulakan gaya hidup yang sihat dari zaman bujang kerana suatu hari
nanti, sebagai ibu anda akan bawa gaya hidup sihat ini ke dalam keluarga
anda. Dengan bersenam anda akan dapat mengekalkan tubuh badan yang
cantik selain mengeluarkan peluh dan akan meningkatkan tahap keyakinan
anda. Selain itu kajian mengatakan bahawa bersenam dapat mengurangkan
‘stress’ dan menjadikan seseorang itu lebih gembira. Ini kerana semasa
bersenam, otak akan menghasilkan sejenis hormon bernama serotonin yang
dapat membawa rasa gembira ke dalam minda seseorang. Jadi, kalau anda
mula mahu rasa sedih atau tertekan, cepat-cepat pergi bersenam supaya
hormone serotonin dapat membantu anda gembira semula.
Sebagai tambahan, untuk mengamalkan hidup yang sihat perlu
seimbangkan antara senaman dan pengambilan makanan yang sihat. Gabungan
dari 20% senaman dan 80% makanan yang sihat akan membantu anda menjadi
seorang gadis yang sihat, ceria, dan bertenaga.
-
Lakukan pelbagai aktiviti yang tidak pernah anda buat.
Anda tidak akan rasa sunyi lagi sekiranya anda penuhkan masa anda
dengan pelbagai aktiviti. Lakukan sesuatu yang baru dan tidak pernah
anda cuba. Seperti, mengembara, mendaki bukit, memasak, menunggang kuda,
memanah, melukis, menangkap gambar, atau apa sahaja. Lakukan perkara
yang pernah anda inginkan untuk lakukan semasa anda kecil. Atau pergi ke
tempat yang anda ingin pergi. Masih belum terlambat untuk lakukannya
sekarang. Penuhkan hidup anda dengan pelbagai pengalaman. Suatu hari
nanti anda akan ceritakan semua pengalaman-pengalaman anda ini kepada
anak cucu.
- Cari Ilmu sebanyak mungkin.
Ini sangat penting. Gunakan masa bujang ini sebaiknya dengan mencari
ilmu dari pelbagai bidang. Tidak semestinya harus ada sijil seperti
ijazah, sarjana atau kedoktoran. Ilmu banyak cabang ilmu agama (wajib!),
ilmu sejarah, ilmu geografi, ilmu matematik, dan banyak lagi. Bukan
sahaja teori, malah ilmu kemahiran juga harus dicari seperti ilmu
memasak, menjahit, menghias, dan BONUS kalau anda juga mencari ilmu
berniaga. Kenapa penting mencari ilmu diwaktu bujang? Kerana waktu
inilah anda mempunyai banyak kelapangan, kurang tanggungjawab, duit yang
digunakan pun untuk diri sendiri selain mak dan ayah. Jadi, gunakan
peluang bujang ini untuk mencari sebanyak mungkin ilmu. Pasti anda tidak
sempat untuk merasa bosan.
- Daftarkan diri menjadi sukarelawan.
Rebut peluang memberi sumbangan kepada masyarakat sewaktu bujang
dengan mendaftarkan diri menjadi sukarelawan di mana-mana badan
organisasi. Di sini anda boleh melatih diri membantu orang,
menyumbangkan tenaga dan kepakaran anda. Selain itu, anda juga
berpeluang berkenalan dengan kawan-kawan baru, meluaskan pengalaman, dan
mungkin anda akan jumpa gadis yang masih tidak berkahwin seperti anda
atau yang lebih susah hidupnya dari anda. Oleh itu anda akan terdidik
menjadi seorang yang lebih bersyukur dan tidak mengeluh. Elakkan banyak
masa bersendirian dan bergaullah dengan kawan-kawan yang positif. Hidup
sendirian itulah yang membuatkan anda murung kerana anda merasakan diri
anda seorang sahaja yang ditimpa nasib sebegini.
Sebenarnya, banyak lagi perkara dan aktiviti yang boleh anda lakukan
sementara masih bujang dan akan menjadikan hidup anda lebih indah dan
bermakna. Bermanfaat lah untuk orang lain, gembirakan orang lain,
InshaAllah hidup anda akan lebih indah dan bermakna. Disamping itu semua
aktiviti ini, persiapkanlah diri anda menjadi Muslimah yang terbaik
untuk pasangan anda kerana dia juga dalam perjalanan mempersiapkan diri.
Tiada lagi alasan untuk sedih dan bosan menunggu jodoh. Percayalah,
janji Allah s.w.t itu pasti.
Suatu hari anda akan tersenyum mengenang kembali zaman-zaman bujang anda yang penuh warna warni.
Semoga bermanfaat!!
Penulis : Fatiya Deni
http://www.pikodot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan