"Dan janganlah kamu iri hati terhadap
apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari
sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari apa
yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa
yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari
kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Surah an-Nisaa' : 32]
Imam Ahmad berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari ibnu Abu
Nujaih dan dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah r.a.
pernah berkata, "Wahai Rasulullah, kaum lelaki boleh ikut berperang,
sedangkan kami (kaum wanita) tidak boleh ikut berperang, dan bagi kami
hanya separuh warisan (yang diterima lelaki)." Maka Allah swt.
menurunkan firman-Nya:
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ
"Dan janganlah kalian iri hati terhadap
apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kalian lebih banyak dari
sebahagian yang lain......." [An-Nisaa' : 32]
Ibnu Abu Hatim, Ibnu Jarir, Ibnu Murdawaih, dan Imam Hakim di dalam
kitab Mustadrak-nya telah meriwayatkan melalui hadits As-Tsauri, dari
Ibnu Abu Nujaih, dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah
pernah berkata, "Wahai RasuluIIah, mengapa kami tidak boleh berperang
dan tidak dapat mati syahid, dan mengapa kami tidak dapat mewaris
(sepenuhnya)?" Maka turunlah ayat ini, dan Allah menurunkan pula
firman-Nya:
"Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kalian, baik lelaki ataupun perempuan." [Aali Imran: 195]
Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas berhubungan dengan ayat
ini (an-Nisaa' : 32), janganlah seorang lelaki berharap melalui
ucapannya, "Aduhai, sekiranya aku mempunyai harta dan isteri seperti
yang dimiliki oleh si Fulan." Maka Allah S.w.t melarang hal tersebut,
tetapi hendaklah dia memohon kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya.
Al-Hasan, Muhammad ibnu Sirin, Ata, dan Ad-Dahhak mengatakan hal yang
semisal. Pengertian ini merupakan makna lahiriah dari ayat. Akan tetapi,
tidak termasuk ke dalam pengertian ini hal berikut yang disebutkan di
dalam sebuah Hadits Shahih, iaitu:
"Tidak boleh dengki kecuali dalam dua
hal, iaitu (terhadap) seorang lelaki yang telah dianugerahkan oleh Allah
harta yang banyak, lalu dia menginfakkan / membelanjakan) nya di jalan
yang hak, dan ada lelaki lain mengatakan, "Seandainya aku mempunyai apa
yang sebanding dengan yang dipunyai oleh si Fulan, nescaya aku akan
mengamalkan hal yang sama," kedua-duanya beroleh pahala yang sama.
Maka sesungguhnya iri hati yang disebutkan di dalam hadits ini bukan
termasuk hal yang dilarang oleh ayat ini. Demikian itu kerana hadits
menganjurkan berharap untuk memperolehi nikmat yang sebanding dengan apa
yang diperoleh si Fulan. Sedangkan makna ayat melarang berharap
mempunyai kebendaan yang sebanding dengan apa yang dimiliki oleh si
Fulan tersebut.
Allah S.w.t berfirman;
"Dan janganlah kalian iri hati terhadap
apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kalian lebih banyak dari
sebahagian yang lain......." [An-Nisaa' : 32]
Yakni yang berkenaan dengan masalah-masalah duniawi; demikian pula
dengan masalah-masalah agama, kerana berdasarkan kepada hadits Ummu
Salamah dan Ibnu Abbas.
Hal yang sama dikatakan oleh Atha' ibnu Abu Rabah, bahawa ayat ini
diturunkan berkenaan dengan larangan mengharapkan dapat memiliki apa
yang dimiliki oleh orang lain, berkenaan dengan harapan kaum wanita yang
menginginkan agar mereka seperti lelaki sehingga mereka dapat
berperang. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir.
Kemudian Allah S.w.t berfirman:
لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ
"....... (Kerana) bagi lelaki ada
bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada
bahagian dari apa yang mereka usahakan......." [An-Nisaa' : 32]
Dengan kata lain, setiap ganjaran disesuaikan dengan amal perbuatannya.
Jika amal perbuatannya baik, maka balasannya pun baik; jika amal
perbuatannya buruk, maka balasannya pun buruk juga. Demikianlah menurut
pendapat Ibnu Jarir.
Menurut pendapat yang lain, makna yang dimaksudkan dengan hal tersebut
berkaitan dengan masalah miras (warisan). Dengan kata lain, setiap ahli
waris mendapat bahagian sesuai dengan kedudukannya dengan si mayat.
Demikianlah menurut Al-Wabili dari Ibnu Abbas.
Kemudian Allah memberikan petunjuk kepada mereka untuk melakukan hal
yang bermaslahat buat diri mereka. Untuk itu Allah S.w.t berfirman:
وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ
"....... dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya ......." [An-Nisaa' : 32]
Dengan kata lain, janganlah kalian iri-hati terhadap apa yang telah Kami
lebihkan buat sebahagian dari kalian atas sebahagian yang lain, kerana
sesungguhnya hal ini merupakan takdir. Dengan kata lain, berharap untuk
memperolehinya merupakan hal yang tidak ada manfaatnya sama sekali.
Tetapi mintalah kalian sebahagian dari kemurahan-Ku, nescaya Aku akan
memberi kalian, kerana sesungguhnya Aku Maha Mulia lagi Pemberi.
Kemudian Allah S.w.t berfirman:
إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
"....... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [An-Nisaa': 32]
Dia Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak memperolehi duniawi, lalu
Dia memberinya sebahagian dari duniawi; juga terhadap orang yang berhak
mendapat kemiskinan, lalu Dia membuatnya miskin. Dia Maha Mengetahui
terhadap orang yang berhak mendapat pahala ukhrawi, lalu Dia memberinya
taufik untuk mengamalkannya. Dia Maha Mengetahui terhadap orang yang
berhak mendapat kehinaan, lalu Dia membuatnya hina hingga tidak dapat
melakukan kebaikan dan penyebab-penyebabnya.
[Petikan dari kitab Tafsir Ibnu Katsir, Surah an-Nisaa' ayat 32 - Imam Ibnu Katsir]
Di dalam suatu riwayat, ada dikemukakan bahawa Ummu Salamah berkata;
"Kaum lelaki pergi berperang, sedangkan kaum wanita tidak, dan kita
hanya mendapat setengah daripada pembahagian harta pusaka lelaki." Allah
menurunkan ayat ini (Surah an-Nisaa' : 32) sebagai teguran untuk tidak
iri-hati dengan ketetapan Allah.
Malahan sehubungan dengan itu, turunlah ayat (Surah al-Ahzaab : 35)
sebagai penjelasan bahawa Allah S.w.t tidak membezakan antara Muslimin
dan Muslimat di dalam memberi keampunan dan pahala. [Diriwayatkan oleh
at-Tirmidzi dan al-Hakim dari Ummu Salamah]
Dalam riwayat lain pula, ada dikemukakan bahawa seorang wanita mengadu
kepada Rasulullah dengan berkata, "Ya Nabiyullah! Kaum lelaki mendapat
dua bahagian melebihi wanita di dalam pembahagian harta pusaka dan dua
orang saksi wanita sama dengan seorang saksi lelaki. Apakah di dalam
beramal pun begitu juga? (iaitu amal baik seorang wanita mendapat
setengah daripada jumlah pahala lelaki).
Maka Allah menurunkan ayat ini (an-Nisaa' : 32) sebagai penjelasan
bahawa lelaki dan wanita akan mendapat balasan yang sama sesuai dengan
amalannya. [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ibnu Abbas]
[Imam as-Suyuthi - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzuul]
p/s: Ada juga wanita yang tidak puas hati kerana seakan-akan kedudukan mereka di bawah kaum lelaki. Ada juga yang tidak puas hati kerana kenapa wanita sahaja yang mengandung, datang haidh, kena pakai tudung dan menutup aurat lebih banyak dari lelaki, tidak boleh itu ini. Padahal, kaum lelaki pun ada perkara-perkara yang terbatas, seperti tidak boleh memakai cincin dan perhiasan emas, suami menanggung dosa isteri jika dia tidak menegur (atau membiarkan isteri buat maksiat), wajib menanggung nafkah isteri dan macam-macam lagi.
Hakikatnya, masing-masing ada batas dan kewajipan masing-masing, maka perlu saling faham-memahami antara satu sama lain, agar dunia ini aman. Wallahu a'lam .......
unikversiti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan