Pada
masa kini, produk kecantikan boleh dikatakan sebagai keperluan untuk
individu-individu yang mementingkan imej dan ketrampilan dari hujung
rambut ke hujung kaki, lalu setiap bulan golongan ini berlumba-lumba
membeli serum wajah A, krim anti penuaan B atau mungkin tonik rambut C,
tidak termasuk rawatan spa terkini; terapi oksigen, rawatan Ultrasonic
untuk mata dan wajah serta terapi rawatan laser.
Sesuai dengan fitrah wanita yang
sentiasa ingin kelihatan cantik, muda dan tiada cela, ramai yang sanggup
berhabis sehingga ribuan ringgit setiap bulan untuk memastikan kemahuan
yang satu ini tercapai.
Tetapi, kami disini adalah pejuang Jimat
Cermat tegar, ingin berkongsi dengan anda tentang panduan-panduan
kecantikan dari bahan yang lebih semulajadi serta murah untuk amalan
kecantikan anda. Teruskan membaca!
MADU untuk Keserian Wajah
Madu sudah terkenal seantero dunia
dengan kepelbagaian khasiat samada untuk dalaman mahupun luaran. Sejarah
menceritakan bagaimana orang-orang terdahulu menggunakan madu dalam
penjagaan kesihatan.
Bagi orang masa kini, madu lebih banyak
digunakan sebagai bahan masakan dan pemanis minuman. Kaya dengan
khasiat antaranya Vitamin C dan Vitamin E yang memang diketahui bagus
untuk kesihatan kulit, serta zat-zat galian lain, penggunaan madu untuk
kecantikan adalah sesuai untuk diamalkan disamping menjimatkan.
Bukan sahaja ianya murah (dari RM15
sebotol), madu juga tiada tarikh luput seperti yang diceritakan sewaktu
penemuan makam Raja Tutankhamun pada 1922 oleh Horward Carter, terdapat
balang yang mengandungi sarang lebah yang mengandungi madu dan madu itu
masih boleh dimakan.
Antara amalan kecantikan menggunakan
madu ialah dengan mengambil 4 titis madu dan sapukan rata ke seluruh
wajah pada waktu malam. Biarkan selama 20 minit kemudian boleh dicuci
dengan air sejuk. Madu yang juga merupakan anti bakteria semulajadi
boleh membantu membersihkan kulit dari bakteria yang menyebabkan
jerawat.
Anda boleh nampak bagaimana wajah akan
menjadi berseri-seri secara semulajadi selepas penggunaan rutin.
Tetapi, pastikan anda menggunakan madu asli untuk jadikan amalan ini
berkesan.
Selesaikan Masalah Kulit Kepala Dengan LIMAU NIPIS
Seringkali limau nipis digunakan sebagai
salah satu bahan masakan serta minuman. Rasanya yang masam dengan
aroma kuat menjadikan limau antara bahan yang selalu ada di dapur
orang-orang Malaysia.
Jika anda salah seorang dari individu
yang selalu keguguran rambut, tiba masa untuk anda gunakan limau untuk
menyelesaikan masalah kulit kepala anda. Sebiji sudah cukup, perahkan
jusnya dan sapukan rata ke seluruh kepala lalu dibiarkan semalaman.
Rajinkan diri anda untuk lakukan rawatan ini setiap hari sehingga
masalah keguguran rambut anda selesai.
Kebaikan tambahan selepas melakukan
rawatan keguguran rambut menggunakan limau nipis adalah, masalah
kelemumur anda juga boleh hilang selain dari mendapat rambut yang berbau
harum lagi segar.
SERBUK KOPI untuk Lulur
Berita gembira kepada peminat kopi
lebih-lebih lagi yang selalu membancuh kopi di rumah. Kini anda
mempunyai sebab terbaik untuk tidak membuang serbuk kopi yang sudah
digunakan itu kerana ianya sangat sesuai untuk digunakan sebagai lulur
badan.
Selain dari kafein, kopi juga
mengandungi magnesium, asid organik, alkaloid, potassium serta mineral
lain yang sangat baik untuk kesihatan kulit. Ramai yang tidak tahu
tentang khasiat kopi yang boleh menegangkan kulit, menghaluskan kulit,
membuang selulit serta menyegarkan kulit wajah dan tubuh jika digunakan
sebagai lulur atau scrub.
Jangan risau apabila menggunakan serbuk
kopi kerana ia tidak akan membuat kulit anda menjadi gelap. Caranya
juga amatlah mudah, hanya ambil serbuk kopi yang sudah dicampur sedikit
air agar menjadi pes lalu disapukan ke kulit dan lulurkan perlahan-lahan
untuk menanggalkan daki-daki degil yang melekat di kulit. Kekerapan
yang paling baik adalah 2x seminggu, usai lulur, cuci bersih kulit anda.
Anda pasti kagum apabila merasakan
perbezaan pada kulit sebelum dan selepas menggunakan lulur serbuk kopi.
Bukan hanya di badan, wajah juga boleh dilulur dengan serbuk kopi!
Serap Minyak di Wajah dengan TEPUNG JAGUNG
Siapa kata tepung jagung hanya untuk
memekatkan sup atau sebagai bahan untuk membuat kek? Ramai yang
mengalami keadaan kulit berminyak kerana masalah hormon serta keadaan
cuaca panas dan lembap di negara ini yang membuatkan kulit
‘bersinar-sinar’ sewaktu selfie.
Kulit yang berminyak boleh membuatkan
partikel debu mudah melekat ke wajah sekaligus menjadi punca masalah
jerawat. Antara cara termurah dan termudah untuk menyelesaikan masalah
ini adalah dengan membancuh tepung jagung sehingga menjadi pes lalu
sapukan ke wajah. Anda hanya perlukan sekadar satu sudu kecil tepung
jagung dan beberapa titis air untuk merealisasikan cara ini.
Selepas sapu bancuhan ke wajah, tunggu
sehingga ianya kering dan kemudian basuhlah dengan air suam sehingga
betul-betul bersih. Sudah pasti anda ingin tidur malam dengan wajah
yang bebas dari kotoran dan minyak.
AIS BATU untuk Mengecilkan Pori-pori Wajah
Pori wajah yang besar memang menyakitkan
hati kerana bukan sahaja boleh menimbulkan masalah jerawat, ia juga
membuatkan sapuan solekan menjadi tidak kemas dan rata. Antara punca
liang pori menjadi besar adalah kerana terdedah terlalu lama kepada
cahaya matahari, merokok, faktor pemakanan tidak sihat serta penuaan.
Cara paling mudah untuk mengatasi
masalah ini adalah dengan membalut ais dengan tuala bersih lalu
dituamkan ke wajah secara rata selama 10 minit. Amalan ini bukan sahaja
dapat mengecilkan pori, ianya juga dapat memberikan kesegaran kepada
kulit wajah serta mengurangkan kekusaman pada wajah dan mata.
Menggunakan ais adalah cara termurah dan termudah yang boleh dilakukan
sambil bersantai di rumah untuk rejim mencantikan kulit wajah.
Itu dia antara amalan-amalan atau petua
kecantikan untuk anda lakukan di rumah yang pastinya dapat menjimatkan
puluhan malah ratusan ringgit wang anda setiap bulan. Anda boleh
mencuba rejim kecantikan baru ini untuk mendapatkan wajah dan kulit yang
cantik tanpa perlu menghabiskan duit untuk mendapatkan hasil yang
sama. Hanya sedikit kerajinan (sedikit sahaja, tidak banyak) dan
selepas itu anda boleh berselfie tanpa perlu bantuan Camera 360 lagi!
jimatcermat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan