Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, penjualan minuman tenaga yang
mengandungi gula dan kafein wajar dihentikan kerana produk tersebut
boleh mengundang bahaya kepada kesihatan kanak-kanak dan golongan belia.
Menurut laporan portal Mail Online, berdasarkan satu kajian yang
dijalankan oleh Pejabat WHO di Eropah, peraturan itu perlu dilaksanakan
segera memandangkan dua pertiga daripada individu berusia 10 hingga 18
tahun sering mengambil minuman tenaga seperti Redbull dan Monster.
Ketua kajian, Dr. Joao Breda dalam penulisannya berkata, kanak-kanak
dan remaja yang mengambil minuman tenaga mengandungi kafein, tinggi
berisiko mengalami kesan buruk terhadap kesihatan dan perkembangan
tubuh.
Jelas Breda, antara penyakit yang boleh dihidapi akibat pengambilan
kafein secara berlebihan adalah peningkatan kadar denyutan jantung,
sawan dan kematian selain meningkatkan risiko menghidap diabetes Jenis
2.
Tambahnya, golongan yang kerap mengambil minuman tenaga mengundang masalah kesihatan lain seperti kemurungan dan ketagihan.
“Kesan menyeluruh ke atas peningkatan jumlah pengambilan minuman
tenaga masih belum dikumpulkan, tetapi pemasaran secara agresif
penjualan produk berkenaan dalam kalangan golongan muda tanpa pemantauan
dan larangan, boleh mengundang masalah kepada kesihatan umum pada masa
hadapan.
“Saya menggesa pihak bertanggungjawab di setiap negara mengenakan
larangan penjualan minuman bertenaga kepada kanak-kanak dan golongan
berusia bawah 18 tahun,” katanya.
Beberapa negara Eropah termasuk Denmark dan Turki mengharamkan
penjualan produk minuman tenaga, manakala negara seperti Sweden
menetapkan hanya pembeli berusia 15 tahun ke atas boleh menggunakan
produk terbabit.
eberita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan