Jumaat, 17 April 2015

Perlukah Pakai Stokin Ketika Berpantang? Ketahui Jawapan Dari Sudut Saintifik.


 Pakai Stokin Ketika Berpantang
Tahniah kerana anda telah selamat melahirkan anak. Setelah bertungkus-lumus bersabung nyawa di bilik pembedahan, akhirnya impian anda untuk melahirkan anak tertunai jua. Tetapi di dalam kegembiraan ini, masuklah pula fasa berpantang; dan salah satu daripada keutamaan ketika berpantang adalah dengan memakai stokin. Perlu ke sebenarnya pakai stokin ketika berpantang ni? Kenapa mesti pakai stokin semasa berpantang? Apa faedahnya?


Tidak selesa

Sebenarnya ada segelintir daripada ibu-ibu yang sedang berpantang, berasa tidak selesa mengenakan stokin. Ada yang rasa seperti ada sesuatu melekat di kaki atau sesuatu sedang menjalar di kaki. Setiap pergerakan yang dilakukan, bagaikan ada je yang tak kena. Dah la tak cukup tidur, setiap dua jam kena menyusu bayi lagi. Kena pulak pakai stokin ketika berpantang.
Disebabkan terlalu banyak perkara yang diuruskan, perkara terakhir yang diingini adalah perasaan ketidakselesaan ketika hendak berehat. Kena pakai stokin pulak tu, memang rasa rimas sangat-sangat. Tak ada ke alternatif lain selain dari memakai stokin ni?

Ada kebaikan dan keburukan

Sebenarnya ada alasan yang kukuh kenapa kita perlu memakai stokin tersebut. Ia boleh dirungkai dari segi saintifik dan juga dari segi agama. Sesungguhnya ia lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan dan merupakan amalan yang elok sejak sekian lamanya.

Kebaikan dari segi saintifik

Oleh itu mari kita lihat kebaikan memakai stokin ketika berpantang dari segi saintifik. Pertama sekali, tujuannya adalah untuk mengelakkan kaki daripada menyentuh secara langsung ke lantai dan boleh menyebabkan badan menjadi sejuk. Maklumlah, badan kita yang belum sembuh sepenuhnya perlu mengekalkan suhu badan yang optimum. Seeloknya pakai setiap masa terutama sekali apabila kita perlu berjalan sekeliling rumah. Sebagai ganti stokin ketika berjalan, boleh juga memakai kasut lembut yang sesuai dipakai di dalam rumah. Asalkan ada lapik di antara kaki kita dengan lantai.

Bagaimana pula ketika sedang tidur atau sekadar baring di atas katil sambil menyusu? Pakai stokin ketika berpantang dapat mengelakkan urat kaki kita daripada bersimpul dan lagi satu untuk elak angin memasuki badan kita. Lepas tu mulalah rasa tak bermaya, pening-pening lalat dan sebagainya. Penyakit angin di dalam badan ni kalau dah mula menular, memang lambat sikit nak keluar. Kena panggil tukang urut yang pakar atau mak bidan untuk membantu anda mengeluarkan angin tadi.

Nak tanya sikit, anda pernah dengar perkataan trombosis? Perkataan trombosis berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud pembentukan darah beku di dalam saluran darah, yang menghalang aliran darah melalui sistem peredaran darah. Apabila saluran darah cedera (seperti proses melahirkan anak), badan kita menggunakan platelet dan fibrin bagi membentuk darah beku untuk menghentikan kehilangan darah. Dengan memakai stokin, sedikit sebanyak kita dapat juga mengelak daripada terkenanya trombosis ini. Malahan, pesakit yang sedang terlantar di hospital atau yang koma untuk sekian lamanya; mereka juga dipakaikan stokin bagi mengelakkan mereka dari terkena trombosis ini.

Aurat dan maruah

Selain dari segi saintifik seperti yang diterangkan di atas, kita juga disarankan untuk memakai stokin kerana kaki wanita adalah sebahagian daripada aurat yang perlu dijaga rapi. Walaupun dalam apa jua keadaan, aurat wanita adalah amat penting dan di situ juga terletak hikmah pakai stokin tu sebenarnya. Ini mengukuhkan lagi sebab anda perlu memberikan penekanan yang tinggi terhadap pemakaian stokin.

Akhir kata

Begitulah nasib bagi orang yang sedang berpantang. Baru kita tahu, pakai stokin ketika berpantang bukan saja-saja. Setelah selesai fasa kehamilan, diikuti pula dengan melahirkan anak dan berakhir dengan fasa berpantang. Kesemuanya ada pantang larang masing-masing dan di antara yang sering dipandang remeh adalah mengapa kita perlu pakai stokin ketika berpantang. Selain itu, jangan lupa amalkan amalan berpantang selepas bersalin dan jaga pemakanan semasa berpantang.

Diharapkan selepas ini anda tahu kenapa perlu bagi anda pakai stokin ketika berpantang dan usahlah mengeluh lagi.
siraplimau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...