Kisah yang akan
diceritakan selepas ini mungkin hanya cerita dongengan bagi sesetengah
insan, namun bagi sesetengah insan lain yang ingin mencari Islam
sebenar, kisah yang akan diceritakan selepas ini Insya’Allah akan
memberi sedikit inspirasi kepada mereka untuk membentuk diri dan juga
keluarga kita agar melaksanakan satu perintah besar daripada Al-Khaliq
berkenaan penjagaan aurat khususnya untuk muslimah sekalian dengan
sempurna.
Kisah ini diceritakan daripada seorang sahabat.
Saya ingin
bercerita mengenai kisah adik saya, Aliya(bukan nama sebenar), seorang
gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan
seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah
lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman
lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang
tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan
pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung.
Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku
pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa,
adik berkata dengan suara yang agak keras,”Cuba mama tengok, jiran-jiran
kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam
orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Aliya kat sekolah, yang
pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang,
pegang-pegang tangan. Liya ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah
buat macam tu!”
Ibu hanya mampu
mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu
menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya ” Ya
Allah, kenalkan Aliya dengan hukum-Mu”.
Pada satu hari,
ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang
mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu khoiri,
(nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya
sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran
rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak
pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan
tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada
saya, “Abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu
dan tuli?”. Lalu saya menjawab sambil lewa, “Kalau nak tau sangat, pergi
rumah mereka, tanya sendiri”.
Rupa-rupanya adik
mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu
Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang
benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah
muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun,
selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang
labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi
bingung. Bingung bercampur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat
perubahan yang ajaib.
Ya, saya katakan
ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau
teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap
perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung,
banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan
saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri. Tak ketinggalan
tahajudnya, bacaan Qur’annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan
lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan. Segala
puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.
Tidak lama
kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di
satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan setelah saya bekerja di sana,
saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya
pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada
Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya
usahakan. Ketika saya sampai di rumah, di depan pintu sudah ramai orang.
Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam
rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas
memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, “Dhi, adik boleh
mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya”. Air mata ini tak dapat
ditahan lagi!!
Setelah selesai
upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya
lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.Diari yang selalu adik
tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa
hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga
sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu
timbul di hati ini – Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang
dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri
jiran kami itu.
Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Aliya: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Aliya : Tapi, mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri jiranku :
Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah
SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Aliya : Mak Cik,
selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya
selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai
tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang
pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan
saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?
Isteri jiranku :
Aliya, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini
perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari
tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti. Tudung adalah salah
satu perlindungan untuk wanita!
Aliya : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Aliya : Apakah hakikat tudung?
Isteri jiranku :
Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari
memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari
mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi
lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari
mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun
masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk,
lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh,
lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu
dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu
kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah
biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah
hakikat tudung.
Aliya : Mak cik,
sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu
pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku :
Duhai Aliya, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang
datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri
rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan
‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai
Aliya, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan
ketika ditiup sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh
manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu
padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada
rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala
kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan,
ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya,
sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain
boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala
sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan
yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan
pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga
tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam
rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat
ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk
seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana
hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan
sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT
dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan.
Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Aliya, bila kita tidak berusaha
untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab
bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha
Kuat , Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini
sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya
lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.
Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera
tulisan kecil dibawah tulisan itu
“buta ,tuli dan
bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita
yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka
Allah SWT , wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang
mengundang dosa dan sia sia”
Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam.- Edisikini/http://wwwsaja-saja.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan