Ketua pramugara MAS Haji Ghaffar Abu Bakar salah satu
mangsa yang berada dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17. –
Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 19 Julai, 2014.
Kariah Masjid Bukit Indah, Ampang kehilangan seorang
anggota mereka yang disifatkan sebagai pejuang yang menentang penyajian
arak di dalam kapal terbang apabila perginya Ketua Pramugara MAS Haji
Ghaffar Abu Bakar bersama pesawat MH17 kelmarin.
Menurut rakan-rakan kariah mereka, Allahyarham Ghaffar
adalah seorang yang berani melawan perintah syarikat agar tidak
menghidangkan arak di dalam penerbangan yang diketuainya.
"Beliau seorang yang suka solat malam, mengaji dalam
penerbangan dan menjadi mutawif (pemandu ibadat haji dan umrah)
kawan-kawannya semasa umrah," tulis rakannya, Halim Hassan dalam
komuniti Whatsapp Masjid Bukit Indah yang kini disebarkan melalui media
sosial.
Ghafar adalah ketua pramugara pesawat MH17 yang terhempas
selepas ditembak menggunakan peluru berpandu darat ke udara di timur
Ukraine dalam perjalanannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Beliau meninggal bersama 298 yang berada di atas pesawat Boeing 777 tersebut.
Turut meninggal adalah kesemua 14 krew MH17 yang bersama Ghafar mengendalikan penerbangan itu.
Menurut rakan-rakan masjid Bukit Indah itu, selain membuat
bantahan kepada MAS tentang penghidangan arak di dalam kapal terbang,
Ghafar pernah menulis kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan
para mufti agar mengeluarkan arak dari sajian dalam pesawat MAS.
Ghafar juga, kata Halim, pernah meminta pemangku Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para
pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.
"Sekarang salah seorang pejuang dalam jihad kita menentang
alkohol dijemput pergi dahulu... tetapi kita akan teruskan perjuangan
ini," kata beliau dalam Whatsapp.
Walaupun Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam oleh
pemimpinnya, MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan milik negara masih
menghidangkan arak dalam penerbangan.
Ia dibuat berdasarkan permintaan dan juga amalan biasa dalam mana-mana syarikat penerbangan utama dunia. – 19 Julai, 2014.
** Artikel ini Orangni terima dari seorang rakan melalui whatsapp.
orangni.blogspot
Tiada ulasan:
Catat Ulasan