Siapakah wanita yang
sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan
memberinya? Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah SAW
keturunan? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada
saat semua orang membencinya? Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah
a-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang
daripada segenap gugusan bintang.
Aishah R.A merupakan
wanita pertama di hati Rasulullah SAW selepas Khadijah R.A. Wanita ini
memiliki tujuh kelebihan yang tidak dimiliki wanita lain kecuali
kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti ‘Imran. Aishah R.A
lebih memilih kesederhanaan walaupun seringkali dilimpahkan kekayaan.
Dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal pada
waktu yang sama dia menampal jahitan pakaiannya.
Siapa pula gerangan
wanita tabah yang mekar berbapakan seorang tokoh Quraisy yang dermawan
dan pemurah? Wanita ini dengan penuh kecekalan hati mendukung anak dari
buaian lalu membawanya menaiki unta. Biarpun tiada sesiapa yang menemani
perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si
ibu tekad meneruskan perjalanan untuk menyusuli suaminya demi menyatukan
kembali cinta tiga beranak itu di Madinah. Itulah Ummu Salamah. Tokoh
wanita agung yang ternukil dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ hasil nukilan
Imam Al-Zahabi.
Suatu hari, Rasulullah
SAW memberitahu Fatimah R.A bahawa dia bukanlah wanita pertama yang
masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu
kepada wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita
itu sehingga beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga?
Nekad untuk berjumpa dengan wanita yang bernama Muti’ah, Fatimah
akhirnya diizinkan masuk ke rumah wanita itu pada hari ketiga lawatannya
untuk menyelidik keistimewaan atau amalan wanita tersebut. Fatimah
kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Muti’ah
kepada suaminya. Rasulullah memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah
ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti. “Maka
sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah
wanita pertama yang masuk ke syurga,” Rasulullah memujuk sambil
memandang Fatimah dengan penuh kasih.
Terdapat seorang isteri
Rasulullah SAW yang tidak berkesempatan meriwayatkan sebarang hadis
kerana singkatnya hidup bersama Baginda. Walaubagaimanapun beliau tidak
pernah menyembah berhala kerana keislamannya sejak dalam buaian lagi.
Muslimah ini telah menyaksikan perjuangan Islam dan cabaran-cabarannya
sejak awal kemunculan dan diberi julukan ‘Ummul Masakin’ yang bermaksud
‘Ibu Orang Miskin’. Itulah Zainab binti Khuzaimah. Zainab sedar,
Rasulullah SAW telah berkorban untuk menikahinya demi menafkahi dan
melindunginya. Justeru itu, dia menyibukkan diri dengan menyantuni orang
miskin selain beribadah kepada Allah SWT.
Terlalu banyak srikandi
mulia di sisi Rasulullah SAW yang kisah kehidupannya wajar diselusuri
untuk diteladani oleh wanita muslimah di zaman ini. Dalam setiap
pancaroba yang dilalui, pastinya boleh dikaitkan dengan pengalaman
eksklusif para wanita syurga yang diharungi hanya berpaksikan kesetiaan
terhadap Allah dan Rasul. Masih ramai yang belum dapat dikenali, inikan
pula untuk dihayati.
Akademi iMuslim
Malaysia, sebuah badan Pendidikan Islam tempatan yang berpusat di Shah
Alam, Selangor mengambil peluang ini untuk menyediakan ruang bagi
pencari ilmu khususnya para wanita dengan menganjurkan konvensyen
Islamik tahunan yang dinamakan ‘The Bidadari’. Sepanjang tiga tahun yang
lalu, Konvensyen ini telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai
satu program yang signifikan dan kini diiktiraf sebagai perhimpunan
wanita terbaik di seluruh Asia.
Bertemakan ‘Srikandi
Mulia di Sisi Rasulullah SAW’, Konvensyen ini diharap agar dapat
mencetus inspirasi untuk membentuk jati diri yang kukuh di kalangan para
Muslimah dalam memainkan peranan sebagai tonggak pemimpin masa hadapan
ummah. Segalanya akan dikupas oleh beberapa tokoh wanita unggul serta
pencetus inspirasi yang bakal menjentik minda melalui perkongsian
pengalaman menuju Allah, berkisarkan kisah tauladan daripada para isteri
Rasulullah SAW dan para sahabat.
‘The Bidadari’ merupakan
sebuah festival, ekspo dan bengkel ilmu yang menyasarkan segenap
lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ilmu dan agama. Diadakan
buat kali ketiga di Malaysia, Konvensyen ‘The Bidadari’ bakal
berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30
dan 31 Ogos 2014.
Dua hari yang sarat
dengan keilmuan menjanjikan peluang untuk mengetahui dan mengambil ibrah
srikandi mulia di sisi Rasulullah SAW. Di samping itu, Konvensyen ini
akan turut diserikan dengan ‘School of Sahabah’, sebuah pengisian mantap
oleh barisan ilmuwan tempatan dan antarabangsa. Topik-topik yang akan
dibincangkan adalah mengenai para sahabat hasil didikan Rasulullah SAW
melalui perjalanan dakwah, panduan dan kepimpinan yang sentiasa relevan
dengan cabaran semasa.
Seperti
tahun-tahun sebelumnya, kira-kira 3,000 orang peserta dijangka hadir ke
Konvensyen ‘The Bidadari’ pada kali ini. Pendaftaran boleh dibuat secara
atas talian melalui www.thebidadari.com
dengan harga tawaran sebanyak RM 100 sehingga 31 Julai 2014. Aktiviti
menarik untuk kanak-kanak, gerai jualan dan kemudahan untuk para ibu
yang menyusukan turut disediakan.
Sumber:
1. Aisyah Binti Abu Bakar R.A – Isteri yang Kreatif Mempamerkan Cintanya, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 22
2. Zainab binti Khuzaimah – Dua Bulan Menjadi Isteri Nabi SAW, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 29
3. Wanita Pertama Masuk ke Syurga, Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood, Solusi Isu No. 42
4. Ummu Salamah – Terpisah Cinta 3 Beranak, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 31
5. Khadijah al-Khuwailid – Isteri Terbaik, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 23
detik islam
Tp, ustaz sekolah sy ckp, Sumayyah binti Khayyat ialah wanita pertama masuk syurga.
BalasPadamAdakah ustaz skolh sy tu salah?