Amalan Sunnah Hari Raya Aidilfitri (Hari Raya Puasa) | Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku
kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.
Surah al-Maaidah: 3
Kesempurnaan Islam itu
terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara
menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti
sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan
sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.
Oleh
itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan
berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya
Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan
al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara
sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan
bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa
setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang
berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu,
ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah
diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran
Aidilfitri ini.
Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1
Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan.
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak
bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika
imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
Supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan
bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya
kamu bersyukur.
Surah al-Baqarah:185
Adalah juga disunnahkan
untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke
masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad
Nasiruddin al-Albani r.h:
Mengenai syariat
bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum
muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan
menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang
remeh sunnah ini.
RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya,karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula
keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk
jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Majoriti amalan umat
Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari
lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan
Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh
dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan
oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair
bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para
sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka
mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah
menerimaamalan kami dan amalanmu).”
Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan
Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan
pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia
seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan
solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam
Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini
adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah
diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari
berikutnyasesudah bulan Ramadan.
Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di
pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju
ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah
ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau
menjawab:
Tidak harus
melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat,
hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."
Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum
muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.
Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan
berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
Mengenai hikmah
menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar
seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat
hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin
menutup prasangka semacam ini.
Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272
Kebiasaannya, Rasulullah
s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya.
Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk
dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.
Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya.
Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh
dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w
tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan
beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah
menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w
memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak
memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain
terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada
makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
Aku lebih menyukai
seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya,
iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan
tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah
memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula
walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka
hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta
perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan
lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
Mengenai golongan
kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang
dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh
memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan."
Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya
kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut
kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan
juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan
kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
Mana-mana wanita
yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka
dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah
bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah
agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan
bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga
dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di
sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu
berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.
Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang
sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu
jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat
solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga
mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan
solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya."
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
Baginda s.a.w selalu
melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat
pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat
bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu.
Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada
juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang
memerlukannya di kedua-dua jalan itu.Menurut pendapat lain pula untuk
menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah
supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang
yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya
akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan
menghapuskan kesalahan-kesalahannya.
Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat
hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti
padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu
amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok
kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah
musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:
Pada hari Aidilfitri
dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu,
perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari
raya (tanpa ada sebarang solat sunat).
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya
mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah
yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya
mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun.
Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat
sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap
Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu
kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan
tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan
hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat
Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya
benar-benar bermakna bagi mereka.
Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang
palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat
Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a
berkata:
Rasulullah s.a.w
telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat
hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat
sebelumnya dan sesudahnya.
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
Pada hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla.
Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid)
baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan
menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka.
Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada
mereka (khutbah).
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak
diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja
selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut
serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu.
Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
Aku pernah
menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat
baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa
ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin
pergi, dia boleh beredar.
Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang
begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi
tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya
untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh
itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga
masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada
syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.
Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat
dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga
berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di
sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri
dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di
tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan
kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena
menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan
lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
Mengadakan permainan
serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai
bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar
agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh
jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati."
Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri
telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila
munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a
berkata:
Nabi s.a.w pernah
datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana
mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari
itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu
memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa
jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan
kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan
Aidilfitri.”
Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di
bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun
Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan
puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk
melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri
secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang
ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah
dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari
sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya
bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan
sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan
perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w
yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang
ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal.
Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk
mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
SUMBER : Islam Grid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan