BERPUASA di bulan Ramadan diibaratkan suatu madrasah atau sekolah
yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan sahaja
menahan lapar dahaga tetapi mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.
Malah disiplin madrasah ini amat tinggi sehinggakan bukan sahaja di
hadapan umat Islam berpuasa tetapi apabila bersendirian juga amalan ini
masih utuh. Inilah kejayaan Islam dalam mendidik peribadi yang mulia dan
amanah.
Hampir sebulan mengikuti madrasah Ramadan, masyarakat Islam meraikan
Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi. Jelas kegirangan dan
kegembiraan tersemat di dalam hati muslimin dan muslimat sekalian kerana
kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi
menyambut hari tersebut.
Daripada segi bahasanya aid al fitri bermakna kembali kepada fitrah.
Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas
daripada dosa sebagaimana anak yang baru dilahirkan. Tatkala
Aidilfitri, umat Islam adalah suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan
telah membersih segala dosa kita.
Namun, tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal
mendapat ijazah daripada madrasah Ramadan ini. Ini dapat dilihat
apabila mereka juga kembali kepada fitrah mereka. Mereka kembali
kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak
tentu halal haramnya dan menindas golongan yang lemah. Golongan ini
adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada
ajaran Allah SWT.
Pada hari kemenangan ini jangan dilupa golongan yang tidak bernasib
baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan, di samping
mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.
Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi
peraturan lalulintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari
raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.
Mungkin ada yang masih di kampung lagi kerana kebetulan cuti
persekolahan yang panjang ketika ini. Ambillah kesempatan ini untuk
mengeratkan silaturahim antara kita dan pulanglah nanti dengan suatu
tekad untuk memperjuangkan agama Allah SWT ini. Islam amat memerlukan
kita bagi meneruskan kelangsungan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di
muka bumi ini.
Hari kemenangan
Hari Raya Aidilfitri bukanlah suatu upacara adat semata-mata, tetapi
merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh
kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya Hari Besar ini
dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah SWT.
Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk
mengabdikan diri kepada Allah SWT, janganlah dikesampingkan. Ia tidak
hanya ziarah-menziarahi tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya
berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan
juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada
Yang Maha Esa.
Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Hari Raya
Aidilfitri, sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan
oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini
tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.
Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat
perjuangan Islam, membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya.
Pembaziran pula bukanlah suatu yang digalakkan oleh Islam tetapi
merupakan amalan syaitan.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan