Selasa, 7 Mei 2013

Ganjaran 10 Kali Ganda Pahala Bagi Yang Sabar


ISLAM menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan reda dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakal kepada Allah. Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat.

Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredaan Allah dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang menggembirakan.
 
 

Sabar adalah antara sifat golongan beriman dan menjadi salah satu amal soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala besar.

Ini seperti firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun...” – (Surah an-Nisa, ayat 124).

Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang dan ringan dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik.

Sekiranya timbul perbalahan perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri Muslim sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.

Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud: “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” – (Surah Ali Imran, ayat 125).

Orang bersabar dengan ujian Allah dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Tentunya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Firman Allah bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...” – (Surah Ali Imran, ayat 170).

Begitu juga orang yang kuat dalam kesabaran kerana mempertahankan iman juga akan mendapat keuntungan. Sebenarnya pelbagai ganjaran dan balasan akan diberikan oleh Allah kepada orang bersabar. Ini kerana melalui sifat sabar akan membentuk jiwa yang kuat dan mental yang berani untuk menghadapi segala cabaran dan peristiwa yang boleh mengganggu gugat keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ganjaran besar seterusnya menunggu orang yang sentiasa sabar dengan ujian Allah pada akhirat. Diketahui bahawa keuntungan, kesenangan, harta benda dan wang yang banyak yang diperoleh di dunia hanyalah sementara. Sebaliknya keuntungan dan kebahagiaan pada akhirat akan kekal dan abadi. Perkara inilah yang akan dinikmati oleh golongan beriman dan sabar dalam keimanannya.

Ini dapat dihayati melalui maksud firman Allah: “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” – (Suruh Ali Imran, ayat 200).

Allah menyediakan tempat kembali yang mulia dan mengangkat kedudukan hamba-Nya yang sabar dan beriman ke tempat yang terpuji dan berserta dengan anbia dan salaf al-soleh. Mereka inilah yang akan menerima catatan amal di sebelah kanan dan mendapat layanan sempurna pada akhirat kelak iaitu dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.

Seterusnya hikmah sifat sabar dapat kita pelajari melalui ayat berikut.

Firman-Nya bermaksud: “Orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kelak akan kami masukkan ke dalam syurga...” – (Surah an-Nisa, ayat 122).

“Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” – (Surah al-Anam, ayat 160).

“Kecuali orang sabar (terhadap ujian) dan mengerjakan amal soleh, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” – (Surah Hud, ayat 11)

Jelaslah, sabar adalah sifat yang membawa kebajikan. Malah Allah menggandakan pahala bagi orang yang membuat kebajikan dengan 10 kali ganda. Orang yang sentiasa bersabar akan mendapat keampunan daripada Allah terhadap segala dosa yang pernah mereka lakukan dengan pahala yang besar.

Oleh itu, sentiasa ingat bahawa sabar itu separuh daripada iman agar hidup kita sentiasa bahagia dan sejahtera.

"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."


Salam Ukhuwah..~
blogtokwan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...