Ikan patin adalah salah satu jenis ikan
sungai atau ikan air tawar. Ikan jenis ini memiliki bentuk yang unik.
Badannya panjang sedikit memipih, berwana putih perak dengan punggung
berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil, memiliki
sesungut berjumlah 2-4 pasang yang berfungsi sebagai alat peraba. Ikan
patin termasuk ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak mencari
makan pada waktu malam. Diceritakan keenakan memakan ikan patin jika
kena dengan menu masakan kelazatannya sehingga menjilat jari tetap walau
seenak mana atau senikmat mana ikan patin mengapa ramai Melayu Sarawak
tidak memakannya. Sudah tentu ada cerita legenda disebalik mengapa dan
kenapa masyarakat Melayu Sarawak mahupun Melayu di nusantara tidak
menjadikannya hidangan pembuka selera. Inilah paparan Borneo Oracle buat
kali ini iaitu Legenda Ikan Patin Dan Mengapa Ramai Masyarakat Melayu
Sarawak Tidak Memakannya.
Umum mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya
adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih
spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat.
Sebenarnya ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di
Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut
mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan
seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang
memancing. Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai
tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa
bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti
anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah. Selama
dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan
pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun
membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti
luhur. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop
telah melewati rumah orangtua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya
sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati
kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai
permaisuri hidupnya. Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke
rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima
pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya.
Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk
tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang
pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah
syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya
seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta
perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat
dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana
perkahwinan tersebut. Para undangan turut gembira menyaksikan kedua
pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan.
Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda
yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan
saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu
setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal
dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih
kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari
kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar. Hingga
berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih.
Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya
yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan
Dayang Kumunah kepada “ayahnya”. Ia pun kembali bahagia hidup bersama
suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana
semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah
ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya
di serambi rumah mereka. Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan
tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya,
kecuali Dayang Kumunah. Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop
meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya
tetapi suaminya terus mendesak. Akhirnya ia pun menuruti keinginan
suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di
mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah
sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari
belakang. Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang
Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air. Pada
masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah
memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan
dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah
pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya
Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna
dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk
memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama
memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat
penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Awangku Usop dan
anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka
cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan
mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas
semua keturunan mereka selepas itu.
Inilah cerita legenda ikan patin dan mengapa ramai masyarakat Melayu
Sarawak tidak memakan ikan patin. Tidak diketahui samada kebenaran
sumpahan ini ke atas semua keturunan Melayu Sarawak namun yang pasti ada
sesetengah masyarakat Melayu Sarawak sememangnya tidak memakan ikan
patin. Sesungguhnya setiap hal yang berlaku di dunia ini ada ceritanya
dan cerita legenda adalah satu cerita yang digembar gemburkan untuk
mencantikkan jalan ceritanya. Sejauhmana kebenarannya hanya Yang Maha
Kuasa yang lebih mengetahuinya.
pen patah blogsport
Tiada ulasan:
Catat Ulasan