Jumaat, 3 Mei 2013

Berkualiti’kah Istighfar kita?

KALIMAH “Astaghfirullahal’azhim” sebenarnya tidak ternilai harganya kepada setiap kita, lebih-lebih lagi yang dosanya menggunung. Tapi, lumrah manusia yang cetek iman, istighfar mereka ada naik turunnya. Berfaedahkah ungkapan istighfar kita andai kita masih mengulangi (tetap) melakukan dosa, tak kira dosa kecil atau dosa besar? Bolehkah istighfar seperti itu?

Mari kita lihat.

PENDAPAT ULAMA’ SULUK

Ulama’ suluk (tasawwuf) berbeza pendapat dalam permasalahan ini. Eloklah kita sama-sama fahami pandangan mereka itu, sekaligus dapat membaca di takat manakah pencapaian rohaniah kita tika ini.

 


1) Pendapat golongan pertama
Istighfar itu memberi manfaat secara mutlak sekalipun langsung tidak ada keazaman dan taubat.

2) Pendapat golongan kedua
Istighfar itu langsung tiada faedahnya sekalipun disertakan dengan taubat.

3) Pendapat golongan ketiga
Mereka mengambil sikap akan memperincikan persoalan ini. Kata mereka: Istighfar yang diungkapkan oleh lisan akan memberi faedah dan manfaat kepada orang yang beristighfar jika…
  • disertakan dengan rintihan yang hangat.
  • disertakan permintaan yang tulus.
  • disertakan sikap merendah diri.
  • disertakan perasaan yang sangat mengharapkan keampunan pada masa hadapan.
  • memohon kepada Allah selayak seorang fakir kepada Tuannya yang Kaya.
  • berasakan diri sebagai makhluk yang lemah kepada Penciptanya yang Maha Gagah.
  • berasakan diri amat kerdil di hadapan Tuhannya yang Maha Besar.
Insya Allah, andai perasaan-perasaan tersebut tercetus dan berlaku dalam istighfar seseorang, maka tidak wajarlah istighfarnya itu disia-siakan.

ISTIGHFAR YANG AFDAL
Banyak sekali ayat al-Quran dan al-hadis menyatakan hujah-hujah yang tuntas dalam menjelaskan permasalahan ini.

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali sendiri berpendapat: “Istighfar dengan lidah juga dikira sebagai kebaikan sekalipun lidah tersebut menuturkannya tanpa sedar. Ia adalah lebih baik daripada percakapan lidah tentang keaiban orang ataupun terlebih cakap.”

Apabila cakap sudah terlebih, maka terlebihlah jadinya. Yelah, berapa banyak masa kita yang terbuang begitu saja dengan kata-kata yang sia-sia apalagi kata-kata yang berbaur umpatan terhadap seseorang? Hairannya, kita tak pernah rasa risau tentang itu, walaupun tahu mati itu datangnya tiba-tiba. Sayyidina Umar r.a. berkata, “Sesiapa banyak cakapnya, maka banyaklah salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya, maka sedikitlah sifat malunya. Sesiapa yang sedikit sifat malunya, maka sedikitlah sifat waraknya dan sesiapa yang sedikit sifat waraknya, maka telah matilah hatinya.”

Maka, kelebihan istighfar ini nyata nampak jika dibandingkan dengan duduk diam semata-mata. Namun, jika dibandingkan pula dengan istighfar yang disertai dengan gerak hati, maka kuranglah nilainya kerana istighfar dengan gerak hatilah yang lebih afdhal.

As Syeikh Abu Usman Al-Maghribi rahimahullah nyata sependapat dengan Imam al-Ghazali tatkala beliau menjawab satu pertanyaan yang diajukan kepadanya. “Lidahku bergerak dengan zikrullah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran sedangkan hatiku lalai, maka bagaimana?”

Bersyukurlah kamu kepada Allah kerana telah menyalurkan anggota-anggota kamu kepada kebaikan, membiasakannya dengan berzikir dan tidak menyalurkannya kepada kejahatan serta membiasakannya dengan percakapan yang berlebihan.”

JANJI ALLAH SWT

Apa yang kita yakinkan ialah betapa Allah swt sekali-kali tidak akan mensia-siakan sesuatu amalan baik yang dilakukan hamba-Nya kerana itu janji Yang Esa. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orng yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.” (Al-Kahfi: 30)

Firman Allah lagi: “Sesiapa yang melakukan seberat biji sawi kebaikan, nescaya dia akan melihatnya (pada hari akhirat).” (Az-Zalzalah: 7)

Berikutnya di dalam surah An-Nisa ayat 40, Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisinya pahala yang besar.”

Maka, istighfar yang telah kita bincangkan ini ialah suatu amalan dan bukankah amalan itu dikira kebaikan?

Manakala hadis yang diriwayat oleh Ibn Abid Dunya dan Al-Baihaqi di dalam kitab Syua’abul Iman dari Ibni Abbas r.a. secara maksudnya: “Orang yang memohon keampunan dari dosa (sedangkan dia tetap melakukannya), dia adalah umpama seorang yang mempermainkan Tuhannya.” Hadis ini berkedudukan daif. Sanad hadis ini sebenarnya tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w. secara marfu’ sebaliknya hanya sampai kepada Ibnu Abbas r.a. secara mauquf (hadis yang disandarkan pada Sahabat). Jadi, ia bukanlah sebenarnya hadis Nabawi seperti yang disangkakan oleh umum.

Demikian juga kata-kata waliyullah, Rabii’atul Adawiyyah: “Istighfar kita memerlukan kepada istighfar yang banyak.” Pun begitu, janganlah kita menyangkakan yang beliau langsung tidak bersetuju dengan gerakan lidah kerana berzikrullah. Kata-kata beliau itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang lalai hatinya di kala beristighfar. Jadi mereka memerlukan istighfar terhadap kelalaian hati mereka, bukannya terhadap gerakan lidah mereka. Walhal, orang yang berdiam diri tanpa menuturkan sebarang istighfar juga sangat memerlukan kepada dua kali istighfar, bukannya sekali.

Justeru, permulaan istighfar seseorang hamba sekalipun dengan semata-mata gerakan lidah, janganlah dipandang kecil dan sia-sia. Imam Jaafar bin Sadiq pernah berkata: “Allah menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara -
  1. Allah menyembunyikan keredhaan-Nya di dalam ketaatan kepada-Nya, maka janganlah kamu menghinanya, maka boleh jadi keredhaan-Nya terdapat di dalamnya.
  2. Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya di dalam penderhakaan terhadap-Nya. Maka, janganlah kamu memandang ringan terhadapnya. Boleh jadi kemurkaan terdapat padanya.
  3. Allah menyembunyikan wali-wali-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya. Maka janganlah kamu menghina seorang pun dari kalangan hamba-hamba Allah. Boleh jadi wali Allah terdapat di kalangan mereka.”
Pun begitu, kita hendaklah berusaha memburu istighfar yang paling tinggi nilai kualitinya di sisi Allah!
Wallahu a’alam.
 http://ohislam.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...