Apakah
itu hobi? Hobi merupakan aktiviti yang dilakukan pada masa lapang,
yang biasanya untuk mencari ketenangan dan keseronokan. Ada hobi yang
tidak mendapat pulangan, dan ada juga hobi yang menghasilkan pendapatan
sampingan.
Ada hobi yang dilakukan tanpa
memerlukan sebarang belanja, manakala ada juga hobi yang memerlukan
belanja, dan kadang-kadang sampai ribuan ringgit. Yang penting,
pelakunya puas hati dan mendapat ketenangan dan keseronokan yang dicari.
Tetapi adakah semua orang terfikir sama ada hobinya itu semakin mendekatkan diri kepada Allah S.w.t atau semakin jauh dariNya?
Ini kerana hanya kerana hobi manusia boleh terus lalai dan terlibat dalam kancah-kancah dosa termasuklah dosa-dosa besar.
Hanya kerana hobi manusia boleh
meninggalkan solat dengan sengaja, berkelahi sesama saudara, mengganggu
ketenteraman awam, menipu, merampas, mengugut, mendedahkan aurat dan
sebagainya lagi. Di sini kita boleh lihat, bahawa hobi bukan perkara
main-main juga ya.
Jika manusia mengamalkan
muroqabah (mendekatkan diri kepada Allah S.w.t dan yakin bahawa Allah
sentiasa melihatnya), maka insyaAllah dia akan memilih hobi yang
bersesuaian dengan statusnya sebagai hamba Allah, dan tidak leka
semata-mata dengan dunia yang fana ini.
Begitulah seterusnya dengan
amalan-amalan lain dalam ilmu akhlak, seperti zuhud, ikhlas hati, tidak
lalai hati, mujahadah, sabar dan sebagainya. Dengan item-item ini
insyaAllah dapat mengawal dan membenteng kita dari terus terlajak dan
terleka, hingga akhirnya boleh menyebabkan kita terjerumus dalam sifat
tamak, busuk hati, adu-domba, hasad dengki, dendam, riya', takabbur dan
sebagainya.
Maka sekali lagi kita dapat
lihat, hobi bukan satu perkara main-main atau enteng. Dan apa pun
sebenarnya tidak boleh dipandang ringan di dunia ini, kerana kita berada
dalam sebuah tempat ujian, untuk melihat manusia mana yang akan berbuat
baik dan manusia mana yang akan berbuat jahat.
"Yang menjadikan mati dan
hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih
baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah Al-Mulk : Ayat 2)
Oleh itu, bukan ketika kita
bekerja secara rasmi, beribadah, bersama orang ramai saja kita diuji,
akan tetapi kita sentiasa diuji walaupun ketika melakukan hobi kita.
Justeru, bagaimanakah perasaan
kita ketika bergiat dengan hobi kita? Adakah kita merasa semakin lalai
dan ta'asub dengan hobi tersebut sehingga langsung tidak mengingati
Tuhan dan lupa untuk memujiNya ketika itu? Kemudian terus melanggar
syariat?
Ataukah hobi kita itu semakin
membuatkan kita dapat memuji-muji Allah, sama ada dibibir atau di dalam
hati? Dan dapat mengajak teman atau rakan sehobi kita berzikir pada
Allah juga?
Anda sendiri dapat menjawabnya insyaAllah ....... ;)
unikversiti.blogspot.c
Tiada ulasan:
Catat Ulasan