Alhamdulillah, ketika umat Islam
diberikan peluang menunaikan ibadah haji pada September dan Oktober
lalu, saya dan isteri dijemput Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya.
Di
celahan 22,300 jemaah haji Malaysia itu, saya dan isteri diberi
keizinan oleh Allah SWT untuk terbang melalui penerbangan KT 44 dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada 23
September 2013.
Hanya
linangan air mata menemani kami ketika melangkah masuk ke dalam
Masjidil Haram dan tawaf Qudum umrah wajib yang dilakukan selepas solat
Isyak benar-benar memberi keinsafan kepada kami betapa Agung Yang Maha
Khaliq.
Memenuhi
rukun umrah bersaie dan bertahalul sambil air mata tidak henti
berlinangan kerana perasaan bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah
SWT, hati membisikkan betapa bertuahnya kami diberi kesempatan untuk
bersama kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia untuk
menunaikan rukun Islam kelima.
Keesokannya,
selepas solat Zohor, saya dan isteri berniat melakukan tawaf sunat.
Ketika menuruni anak tangga dari pintu King Abdul Aziz menuju ke dataran
di hadapan Baitullah, saya dan isteri tidak putus-putus berdoa.
Menyaksikan
Baitullah tersergam indah di hadapan mata adalah segala-galanya.
Keindahan Kaabah menggamit kami untuk mendekatinya sehampir-hampirnya.
Oleh sebab tidak berkesempatan menikmati keindahan Kaabah sepuas-puasnya
malam tadi, kami mengambil kesempatan merenung kiblat umat Islam
seluruh dunia.
Dalam
keadaan perasaan bercampur baur antara terlalu gembira dan terharu
diberikan peluang menikmati keindahan Kaabah, sedar dengan tidak,
tiba-tiba saya dan isteri sudah menginjak anak tangga terakhir dari
laluan sebelah pintu King Abdul Aziz ke dataran laluan untuk melakukan
tawaf.
Direnung lelaki tua
Tiba-tiba
terasa selendang buatan India yang diselempangkan di kedua-dua bahu
ditarik perlahan dari belakang. Saya segera menoleh dan seorang lelaki
tua berbangsa Pakistan berpakaian agak lusuh merenung wajah saya seraya
menarik-narik selendang itu.
Dalam
bahasa Urdu, lelaki tua itu seolah-olah mengatakan beliau mahu memiliki
selendang itu. Namun, dalam keadaan agak kelam-kabut antara mulut
terkumat-kamit membaca doa dan menatapi Kaabah, saya berbelah bahagi
sama ada ingin menyerahkan selendang itu atau sebaliknya.
Isteri
saya hanya merenung wajah saya tanpa berkata apa-apa. Lelaki tua itu
terus menarik-narik selendang sambil berkata-kata yang saya dan isteri
tidak memahaminya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala saya memberi
isyarat tangan bahawa selendang itu milik saya.
Saya
dan isteri lantas melangkah ke penjuru Hajarul Aswad untuk memulakan
tawaf sunat dengan meninggalkan lelaki tua itu terus merenung kami
berlalu pergi. Selesai menunaikan tawaf sunat kami kembali ke Maktab
97.
Kejadian
itu saya ceritakan kepada empat rakan sebilik dan seorang daripadanya
berusia 63 tahun dengan nada agak kesal menegur tindakan saya tidak
memberikan selendang kepada lelaki tua itu. Katanya, kita tidak tahu
siapa lelaki itu kerana mungkin malaikat.
Mendengarkan
itu, hati kecil saya diselubungi seribu penyesalan kerana menolak
permintaan seseorang yang berhajat memiliki selendang saya.
Namun,
Allah SWT Maha Pengasih, dua hari selepas itu, sejurus selesai
menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram, seorang lelaki tua dari India
menarik selendang saya dari belakang. Dengan bahasa Hindi, beliau
menyatakan hasrat ingin memiliki selendang seperti itu.
Guna isyarat tangan
Tanpa
banyak soal, saya lantas menarik selendang dan dipakaikan pada bahunya.
Saya lihat air jernih mengalir di pipi lelaki tua itu seraya memeluk
saya. Saya terpaksa menggunakan tangan untuk berbahasa isyarat bukan
saya yang memberikan selendang itu, sebaliknya Allah SWT.
Tiga
hari selepas itu, ketika melangkah keluar dari pintu King Fahd selepas
menunaikan solat Asar, sekali lagi selendang saya ditarik dari belakang.
Kali ini seorang lelaki tua berkemungkinan besar dari Bangladesh.
Saya
segera meletakkan selendang itu pada bahu lelaki tua berjanggut tebal
itu. Beliau tidak putus-putus mengucapkan jutaan terima kasih dengan
menggunakan bahasa Bangladesh.
Cebisan
kisah ketika berada di Tanah Haram ini saya kongsi semata-mata kerana
mengagumi kebesaran Allah SWT. Pada kali pertama diminta menyerahkan
harta milik saya, saya keberatan menyerahkannya.
Namun, Allah SWT Maha Pengasih mengutuskan insan lain untuk menduga sama ada saya bersifat pemurah atau sebaliknya.
Saya
bersyukur kerana dipertemukan dengan dua jemaah haji yang berhajat
kepada sesuatu saya miliki. Semoga Allah SWT memberikan peluang kepada
saya dan isteri untuk sekali lagi menjadi tetamu-Nya, Insya-Allah.
akak disebalik pintu
hmmmm.bila lah dpt ke sana kan...
BalasPadam