Kita seringkali melihat ayat yang berbunyi ‘Dinilai Sahih oleh
Albani’ atau ‘Dinilai Hasan oleh Albani’. Tahukah kita siapa itu Albani?
Beliau
adalah salah seorang imam Ahli Sunnah Wal Jamaah pada abad ini. Beliau
mengorbankan seluruh sisa hidupnya demi mengabdikan diri kepada Allah.
Malah, beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulama hadis bahkan
beliau adalah salah seorang di antara barisan para ulama yang mendapat
gelaran sebagai pembaharu Islam (Mujaddid al-Islam)
Beliau adalah
Muhammad Nasiruddin bin Nuh atau lebih dikenali dengan panggilan Abu
Abdurrahman – lahir pada tahun 1914 Masihi di ibu kota Albania dalam
sebuah keluarga yang sangat sederhana dan sibuk dengan ilmu agama.
Bapanya, Haji Nuh merupakan salah seorang ulama besar Albania pada masa
itu. Ayahnya pernah menuntut ilmu di Istanbul, Tuki, kemudian kembali
semula ke Albania untuk mengajarkan ilmu dan berdakwah. Lingkungan
keluarga yang menaungi Shaykh Albani ketika masih kanak-kanak, penuh
dengan cahaya Islam , dan tampak sangat terjaga dalam setiap sisi.
Ketika
Ahmad Zogo menjadi raja Albania, dia mula melancarkan pelbagai
perubahan aturan sosial besar-besaran bagaikan hantaman hebat yang
menggoncangkan pondasi orang-orang Islam. Tindakan yang dilakukan oleh
raja Ahmad Zogo tersebut sama dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah
Turki, Mustafa Ataturk; di mana para wanita Albania diharuskan
menanggalkan hijabnya, sehingga rangkaian fitnah dan malapetaka pun tak
terhindarkan. Sejak saat itu, kaum muslimin yang bimbang akan agama
mereka mengambil langkah untuk berhijrah ke negara-negara lain.
Antara
keluarga yang pertama berhijrah adalah keluarga Syaikh Haji Nuh, yang
membawa agama dan keluarganya ke Syria. Termasuk di dalamnya, sang Imam
kecil, Muhammad Nasiruddin al-Albani.
Di Damsyiq, lelaki kecil
Muhammad Nasiruddin mula menimba ilmu dengan mempelajari Bahasa Arab di
Madrasah Jam’iyah al-Is’af al-Hairi. Di sanalah beliau mula bertapak
dalam dunia ilmu dan kemudian mendaki kemuliaan sebagai seorang alim.
Insan yang pertama menanamkan pengaruh dalam dirinya adalah bapanya
sendiri, Haji Nuh, yang merupakan salah seorang ulama Madzhab Hanafi
dikala itu. Untuk beberapa lama beliau mengikuti mazhab Hanafi yang
diajar oleh bapanya.
Walau bagaimanapun, hidayah Allah sentiasa
datang kepada orang yang dikehendaki kebaikan pada dirinya. Setelah itu
beliau muncul sebagai seorang yang tidak terkekang dalam Madzhab
tertentu. Begitulah Albani, beliau muncul sebagai seorang pemuda yang
unggul dalam kajian hadis, dan bertukar dari satu majlis pengajian ke
majlis pengajian yang lain demi menimba ilmu.
Tindakan beliau
dalam menuntut ilmu sangat tepat dan seiring dengan kehidupan beliau
sehingga untuk menyara kehidupannya, dia mesti bekerja sebagai tukang
baiki jam. Namun, semua itu sama sekali tidak menghalang beliau untuk
menjadi seorang alim yang besar pada masa depan.
Berkat jerih
payah sang Imam dan taufik dari Allah swt, sejumlah karya tulisan beliau
mula diterbitkan dari tangan beliau dalam pelbagai disiplin ilmu
seperti fiqh, akidah dan terutamanaya dalam ilmu hadis yang memang
merupakan kepakaran beliau; yang menunjukkan kepada dunia ilmiah,
luasnya ilmu yang telah Allah anugerahkan kepada beliau; berupa
pemahaman yang sahih, ilmu yang luas, dan kajian yang mendalam tentang
hadis, dari pelbagai sisi. Ditambah lagi dengan jalan beliau vang lurus
dan menjadikan al-Qur’an serta as-Sunnah sebagai kayu ukur dan penentu
segala sesuatu. Semua itu menjadikan sang Imam muncul sebagai seorang
yang hebat dan menjadi rujukan ahli ilmu dan dengan keutamaan vang ada
pada dirinya, beliau dikenali oleh pelbagai kalangan. Ketika Universiti
Islam Madinah mula ditubuhkan yang dipelopori oleh Syaikh Muhammad bin
Ibrahim Alu Syaikh at-Tamimi yang saat itu adalah Mufti Kerajaan Saudi
Arabia, Shaykh Albani dipilih untuk menjadi pensyarah Kuliah Hadis di
sana.
Di sana sang Imam sempat mengajar dan mengharungi pelbagai
suka dan duka selama tiga tahun. Pada masa itu, beliau menjadi contoh
dan teladan. Kesungguhan dan keikhlasan beliau mengabdikan diri pada
ilmu sehinggakan beliau sering kali bersama para pelajarnya di atas
padang pasir pada waktu rehat di antara mata pelajaran, demi menjawab
pertanyaan dan berbincang dengan pelajar-pelajar beliau.
Beliau
adalah seorang yang sangat rendah hatinya sehinggakan beliau menjadi
salah seorang dari pelajar apabila beliau bersama dengan
pelajar-pelajarnya. Tidak hairanlah kereta peribadi beliau sentiasa
dipenuhi dengan para pelajarnya yang ingin mengambil faedah dari
ilmunya.
Beliau telah menghasilkan tidak kurang dari 119 karya
yang sudah dicetak dan masih banyak lagi dalam bentuk manuskrip. Karya
beliau terkenal kerana mempunyai kesimpulan-kesimpulan yang terperinci
dan cermat. Ini menjadikan beliau sebagai rujukan para ulama dan para
penuntut ilmu di bagi negara-negara Islam. Berikut adalah beberapa hal
yang menggambarkan kedudukan beliau dalam dunia Islam:
- Beliau terpilih sebagai anggota pada dewan kajian hadis yang dibentuk oleh Mesir dan Syria bagi memimpin jawatankuasa penerbitan buku-buku Sunnah.
- Beliau juga menjadi pensyarah bidang hadis di Universiti Islam Madinah. Bahkan kemudian beliau dipilih sebagai anggota dewa reaktor di universiti tersebut pada 1381H hingga 1383H, kemudian beliau diambil kembali menjadi anggota dewan reaktor Universiti Islam Madinah pada 1395H hingga 1398H.
- Beliau juga pernah diminta menjadi pensyarah di Universiti as-Salafiyah, India, tetapi beliau menolaknya.
- Beliau juga pernah diminta oleh Menteri Wakaf Saudi Arabdia, Syaikh Hasan Abdullah asy-Syaikh, untuk menjadi pensyarah ilmu hadis di Universiti Makkah al-Mukarramah.
- Perpustakaan azh-Zhahiriyah, di Damasyiq telah menyediakan satu ruang khusus bagi beliau mengkaji dan meneliti terhadap hadis.
Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (mantan Mufti Arab Saudi) mengatakan:
“Saya tidak pernah mengetahui seorang pun di atas bumi ini yang lebih alim dalam bidang hadis pada masa kini yang dapat menandingi Syaikh Albani rahimahullah”
Selain itu, Yusuf al Qaradhawi pernah berkata:
“Syaikh Albani adalah seorang Ahli hadits yang masyhur dari zaman dahulu dengan ilmu takhrij haditsnya dan menurutku Syaikh Albani adalah Ulama hadits yang paling masyhur pada zaman sekarang ini dan ulama yang pakar dalam ilmu takhrij hadis baik dalam menshohihkan dan melemahkan hadis”
Beliau
wafat pada hari Sabtu 22 Jamadil Akhir 1420 H. Jenazah beliau
dipersaksikan dengan iringan ribuan para pelawat dari pelbagai negara.
Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada sang imam yang telah berjasa
besar terutamanya dalam bidang hadis sehingga manfaatnya sampai kepada
kita pada hari ini.
i lu islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan