Ahad, 18 Mei 2014

Renjer hutan kongsi kisah misteri

   
 
KENINGAU - Satu cara untuk menarik Kho Ju Ming, 45, berbual dengan rancak ialah dengan membawa topik keajaiban alam semula jadi Sabah terutama hutan hujan tropika yang belum diteroka.

Apapun beliau seorang renjer hutan berdedikasi yang menghabiskan seluruh hidupnya meneroka pedalaman Sabah dan kubu terakhir kawasan hutan yang belum diteroka terutama di Lembangan Maliau dan kawasan Pemuliharaan Ngarai Imbak.

Dalam melaksanakan tugasnya yang mencabar, renjer kanan hutan Yayasan Sabah itu melalui pelbagai pengalaman yang menarik dan pelik termasuk bertembung ular tedung selar yang besar di Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA).
 

Apabila beliau menyertai Kajian Sumber dan Kehidupan Liar di MBCA tahun lalu, yang dikenali sebagai 'Sabah Lost World’, pipi Kho bengkak akibat disengat lebah liar.

Pada 2012, Kho bersama tiga rakannya ditugaskan menyiasat laluan yang digunakan pengumpul gaharu untuk memasuki MBCA secara haram tetapi perjalanan mereka hampir berakhir dengan tragik apabila bot yang dinaiki mereka melanggar ketulan batu besar.

“Akibat pelanggaran itu seorang daripada kakitangan saya terhumban ke dalam arus deras sungai namun kami bernasib baik dapat menarik beliau," katanya kepada  Bernama.

Kho juga mengingat kembali pengalaman misteri pada 2005 semasa di lokasi tertentu dalam kawasan MBCA.

“Ketika itu hujan renyai-renyai dan saya sedang melalui kawasan gaung apabila tiba-tiba saya nampak lembaga seperti manusia berpakaian putih "terapung". Buat beberapa ketika saya hanya merenung dengan agak gemuruh objek pelik itu sebelum ia hilang.

“Seminggu selepas insiden pelik itu, satu lagi kumpulan MBCA dan kakitangan Yayasan Sabah termasuk tiga wanita, yang berada di tempat yang sama namun ketiga-tiga wanita itu ‘kena rasuk’.

“Perkara pelik ialah, seorang daripada wanita itu mendapati dia melakukan satu aksi yang sukar dipercayai iaitu dengan mengangkat tunggul kayu besar manakala dua lagi berasa terganggu dan gelisah apabila mendengar bunyi riang-riang," kata Kho sambil menambah insiden itu dilaporkan kepada beliau.

Sekitar tahun 2003, Kho mengalami satu lagi kejadian pelik semasa mengiringi penyelidik dari Denmark yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan di MBCA.  

“Apabila tiba waktu malam, angin kuat tiba-tiba melanda, sehingga satu atau dua batang pokok tercabut dan hampir menghempap kawasan perkhemahan kami.

“Yang peliknya, sehari sebelum kejadian itu, seorang daripada kakitangan saya bermimpi diberi amaran bahawa dia atau pasukan kami supaya tidak mendirikan khemah berdekatan dua pokok besar," katanya.

Sebelum menyertai Yayasan Sabah sebagai renjer hutan, Kho, yang berasal dari Telupid, di pedalaman Sabah, merupakan seorang daripada anggota pengasas dalam pelaksanaan projek mengurangkan kesan pembalakan (RIL) di Sabah, terutama di Danum di Lahad Datu, Kalabakan di Tawau dan Kuamut.

Kho yang menyertai pelbagai ekspedisi hutan terutama di Lembangan Maliau dan kawasan pemuliharaan Imbak, kebanyakannya untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan tentang spesies tumbuhan serta mengiringi penyelidik dari negara-negara lain termasuk kajian berhubung badak sumbu di Lembah Danum.

Beliau berkata perjalanan paling sukar yang pernah ditempuhi ialah mendaki cerun curam Gunung Lotung setinggi 1,700meter, di lingkaran utara Lembangan Maliau.

Lembangan itu merupakan satu daripada siri struktur berbentuk piring di kawasan tengah dan tenggara Sabah.

MBCA, dan dua kawasan pemuliharaan Sabah yang lain, Lembah Danum dan Ngarai Imbak, adalah Hutan Simpan Perlindungan Kelas 1 mengikut Enakmen Hutan, dan dilindungi daripada kegiatan pembalakan dan sebarang bentuk pemusnahan. - Bernama
 http://realitiabadi.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...