Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke
sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1
kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana
ada tugasan yang diberi sebegitu – maklumlah sekolah pun di kawasan
pedalaman). Sabarlah cikgu…
Semasa Sesi Pengajaran
Sebelum
memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta
agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari.
Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan
meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya
tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar
bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah
cikgu…
Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran
Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan
tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab
mereka “Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool,
kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas”.
Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik
ke kelas. Sabarlah cikgu…
Cikgu mengajar di hadapan, anak murid
bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila
ditanya “Mana kerja rumah?”. Dijawab pula “Lupa cikgu” (padahal di rumah
begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah
pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu
belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun
meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi
apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya.
Cikgu
pun bertanya, “Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu
ulang lagi”. Anak murid pun menjawab, “Faham cikgu”. Tidak lama
kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana
beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah
anak murid yang berdiri dan menjadi ‘patung’ kerana tidak dapat
menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk
menjawab soalan. Sabarlah cikgu…
Lalu cikgu pun ingin membuat
ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya
menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula.
Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat
menjawab soalan. Mereka menjawab “Tak tahu”, “Lupa”, “Jaga adik”.
Sabarlah cikgu..
Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan
pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu
bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya
kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan
kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa
hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum
sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak
murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka
pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan.
Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu…
Sesudah Habis Mengajar
Sebelah
petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi
di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang
ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah
faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.
Di rumah,
kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan
mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan
untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang
dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk
dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap
kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu.
Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi
orang yang berguna. Sabarlah cikgu…
Cikgu pun tidak kisah.. semasa
di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak
dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman –
Alhamdulillah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan
kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia
rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di
depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah
terasa sangat sebenarnya. Sabarlah cikgu…
Cikgu pun pernah
mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu
hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku
tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan “terima kasih cikgu”.
Sekadar
berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah
berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah
payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu,
guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini…
Terima kasih saya ucapkan…
i lu islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan