Kuih tepung bungkus ini adalah manisan tradisional masyarakat melayu yang masih lagi segar sepanjang zaman. Rasa tekstur kuih yang lembut berinti manis ini amat sesuai dihidangkan sebagai minum petang yang paling ideal. Sebagai maklumat tambahan, layukan daun pisang di atas api terlebih dahulu sebelum membungkus adunan. Selamat Mencuba!




Bahan-bahannya:

1 biji kelapa }  diambil santannya
300gm tepung beras
2 sudu makan tepung pulut
Daun pisang secukupnya

Inti:

1/2 biji kelapa parut
240gm gula pasir
300gm gula merah
2 sudu makan tepung pulut

Cara membuatnya:

Untuk membuat inti, kelapa parut digaul dengan gula merah dan gula pasir di atas api yang sederhana. Pastikan ia dikacau sebati. Setelah itu, angkat dan sejukkan. Kemudian gentelkan adunan bulat-bulat sebesar biji guli.

Kemudian bancuh tepung pulut dengan sedikit air tetapi jangan terlalu cair. Ambil sejemput kecil bancuhan tepung pulut tadi dan balutkan pada inti yang telah digentel.Lakukan hingga selesai semuanya. Ketepikan.

Untuk membuat adunan tepung bungkus pula, tepung beras dibancuh dengan santan, kemudian jerangkan di atas api hingga pekat. Setelah itu, angkat dan sejukkan sebentar.

Ambil sesudu adunan tersebut dan letakkan di atas daun pisang.

Kemudian letakkan inti di tengahnya. Bungkuskan seperti membuat kuih naga sari. Lakukan sehingga habis semua adunan.

Kukus sehingga masak. Sedia untuk dihidangkan.
mingguan wanita