Pembinaan terowong kereta api paling dalam
dan panjang di dunia di Switzerland, selesai dijalankan dan akan dibuka
pada 1 Jun tahun depan.
Terowong yang dikenali sebagai Terowong Dasar NEAT Gotthard mempunyai
jarak 56.3 kilometer, sekali gus mengatas rekod Terowong Seikin di Jepun
yang berukuran 23.3 kilometer yang menghubungkan pulau Honshu dan utara
pulau Hokkaido.
Menurut portal Mail Online, terowong Gotthard yang menghubungkan Zurich
ke Milan akan mengambil masa perjalanan selama dua jam dan 50 minit,
sekali gus mengurangkan masa sebanyak hampir sejam bagi tempoh
perjalanan ketika ini.
Jelas laporan tersebut, pembinaan terowong itu yang dibiayai sepenuhnya
oleh kerajaan Switzerland menelan kos kira-kira AS$10.3 bilion (RM42.7
bilion) dan mengambil masa hampir 20 tahun sejak mula dibina pada 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif AlpTransit Gotthard, Renzo Simoni berkata, lebih
2,000 pekerja terlibat dalam kerja-kerja menggali dan mengeluarkan
tanah bagi mencapai kedalaman 2,438 meter dari permukaan bumi.
Beliau menambah, pembinaan terowong itu amat penting bagi menghubungkan
bandar-bandar utama seperti Milan dan Zurich memandangkan pengguna jalan
raya perlu melalui kawasan pergunungan yang akan mengambil masa lama.
“Dengan pembinaan terowong ini, kereta api boleh bergerak pada kelajuan
lebih 241 kilometer sejam dan menjimatkan banyak masa penumpang untuk
sampai ke destinasi masing-masing.
“Selepas terowong ini dibuka, ia akan menjadi rangkaian kereta api paling selamat di dunia,” katanya.
Ujian keselamatan perjalanan kereta api yang pertama akan dilaksanakan
pada Oktober ini dan kira-kira 1,000 orang akan dipilih untuk merasai
pengalaman pertama laluan baharu itu pada Januari depan. –UtusanOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan