Gambar ihsan dari http://blog.syazwanwi.com
Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah.
Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali
dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim
dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang
dah kahwin’.
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu
kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak
kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di
Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan
dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu
sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum
melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan
keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.
Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum
berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms,
chatting dan sebagainya.
Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan
masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu
kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan
adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya.
Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan
pasangannya.
Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz
Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.
Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf,
atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan
berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan
di tempat suci dan terpencil.
Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan
Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan
si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam
hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup
anda.
Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya
satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu
semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah,
sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada
perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya,
apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan
berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah
tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan
berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat,
mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain
pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.
Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa.
Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang
mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan
mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit
sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan
peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati
sebagai insan yang kerdil.
Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan
yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang
terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu
bapa sendiri.
Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang
yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah
berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang
dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga
halnya dengan pihak yang dilamar.
Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.
Source:
iLuvIslam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan