Isnin, 14 September 2015

Fakta - Negara Paling Kaya Di Dunia..!!!

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah sebuah organisasi antarabangsa yang menyelia sistem kewangan dunia mengikut polisi makroekonomi sesebuah negara.

IMF mengambil kira kadar pertukaran asing dan imbangan pembayaran sesebuah negara semasa menentukan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Kadar kekayaan sesebuah negara itu boleh diukur menerusi KDNK yang merangkumi pendekatan produk, pendapatan dan perbelanjaan.

Berdasarkan data perbandingan populasi yang diperoleh daripada IMF pada 15 Jun 2015, ketahui 10 negara yang dianggap paling kaya di dunia.



10 – Hong Kong
Semenjak tahun 70-an, Hong Kong beransur menjadi penghubung kepada dunia dan negara China. Selama beberapa dekad, negara yang mempunyai populasi 7 juta orang ini berkembang menjadi pusat dagangan paling popular di dunia.

Cukai yang rendah dan sistem perdagangan bebas menjadikan Hong Kong masyhur sebagai hab perdagangan utama global serta pusat kewangan paling penting selepas New York dan London.

9 – Switzerland

Laporan Daya Saing Global (GCR) menyatakan Switzerland sebagai yang negara yang paling berdaya saing di dunia. Sebahagian besar ekonomi negara yang ditubuhkan pada tahun 1300 ini dipacu oleh industri berkaitan bahan kimia, farmaseutikal dan kesihatan, mesin dan lain-lain.


Foto - AFP Relaxnews

Selain itu, pelbagai jenama bertaraf dunia berasal dari Switzerland seperti Nestlé, Swatch, Adecco, Zurich Financial Services, Credit Suisse dan lain-lain.





Teruskan Selongkar...

8 – San Marino

Negara Eropah ini kurang mendapat perhatian dunia. Terpencil dikelilingi Itali, struktur ekonomi San Marino sebahagian besar bergantung pada sektor kewangan, perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.


Foto – Twitter LolaAkinmade

San Marino mempunyai keadaan ekonomi yang sangat stabil dan kadar pengangguran antara terendah di benua Eropah. Satu-satunya negara di dunia di mana jumlah kenderaan melebihi penduduk.

7 - Emiriah Arab Bersatu

Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah sebuah negara persekutuan merangkumi tujuh emiriah iaitu Abu Dhabi, Ajman, Dubai, Fujairah, Ras al-Khaimah, Sharjah dan Umm al-Quwain.


Foto - AFP Relaxnews

Presiden pertama UAE, Sheikh Zayed menyelia pembangunan negara lantas memacu hasil minyak untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.

Petroleum dan gas asli menyumbang kepada kekayaan UAE. Simpanan petrol dan gas aslinya masing-masing adalah yang ketujuh dan ke-17 terbesar di dunia.


6 – Norway

Norway merupakan salah sebuah negara dengan kerajaan tertua di dunia. Ia ditubuhkan sekitar 1,100 tahun lalu dan sehingga kini mengekalkan pemerintahan monarki.


Foto - AFP Relaxnews

Norway kaya dengan bekalan petroleum, gas asli, mineral, kayu balak, makanan laut, air tawar dan kuasa hidro. Industri petroleum sahaja menyumbang sekitar satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar negara.

5 – Kuwait

Meskipun mempunyai jumlah penduduk seramai 4.1 juta, hanya 1.2 juta adalah warga Kuwait manakala 2.8 juta yang lainnya adalah ekspatriat. Bank Dunia mengiktiraf Kuwait sebagai sebuah negara dengan ekonomi yang berpendapatan tinggi.


Foto – FB Arabian Business

Petroleum sahaja menyumbang hampir separuh dari keluaran dalam negara kasar. Petroleum dan baja merupakan dua sektor utama yang memonopoli ekonomi Kuwait. Mata wangnya, iaitu Dinar adalah unit mata wang dengan nilai paling tinggi di dunia.

4 – Brunei
Pertumbuhan ekonomi sekitar tahun 1990-an hingga 2000, membawa perubahan kepada Brunei sehingga menjadi sebuah negara perindustrian. Purata peningkatannya adalah 56 peratus bagi tahun 1999 hingga 2008 sahaja.


Foto – Facebook The Brunei Project

Sektor petroleum dan gas asli menjana kekayaan negara yang mencapai kemerdekaan dari United Kingdom pada 1 Januari 1984 ini. IMF turut menyatakan bahawa hutang Brunei berada di kadar kosong peratus daripada KDNK negaranya.


3 – Singapura
Selain menjadi salah satu hab perdagangan utama dunia, Singapura merupakan pusat kewangan keempat terbesar dan salah satu daripada dua pelabuhan kontena paling sibuk di dunia.


Foto - AFP Relaxnews

Ekonomi global Singapura yang pelbagai tertumpu pada sektor perdagangan, terutamanya perkilangan yang menyumbang kira-kira 30 peratus daripada KDNK Singapura.

Negara yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia ini juga menduduki kedudukan yang tinggi bagi taraf hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan serta daya saing ekonomi.


2 – Luxembourg
Walaupun dilihat sebagai sebuah negara yang kecil dan dilitupi hutan Ardennes yang padat, ekonomi maju Luxembourg berjaya meletakkan negara Eropah ini di tangga kedua terkaya di dunia.


Foto – Twitter BEAUTIFULPlCS

Ekonomi stabil dan berpendapatan tinggi Luxembourg didominasi oleh perindustrian besi sehingga 1960-an. Sejak beberapa dekad lalu, sektor kewangan mula mengambil alih sehingga menjadikan Luxembourg pusat pelaburan kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.


1 – Qatar
Negara yang terletak di semenanjung Arab ini muncul sebagai negara terkaya dengan hasil keluaran dalam negara kasar tertinggi di dunia. Penduduk Qatar tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana taraf kehidupan yang tinggi.


Foto - AFP Relaxnews

Negara berpendapatan tinggi ini mempunyai ekonomi yang maju disokong oleh simpanan gas asli ketiga terbesar di dunia. Selain itu simpanan minyaknya melebihi 25 bilion tong. Pada tahun 2012 sahaja, simpanan minyak Qatar menyumbang lebih 13 peratus daripada sumber keperluan global.
kredit : Astro Awani /selongkar10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...