Ada orang berkata ‘aku tidak mahu menangis dalam hidup ini’. Ada pula yang berkata ‘apalah faedahnya menangis?! Ia tidak dapat mengubah apa-apa’. Ada juga yang berkata ‘aku bencikan airmata’.
Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang
merasa tekanan dalam hidup. Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan
memerlukan airmata tangisan dalam membentuk peribadi yang halus dan
luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia dengan Allah S.W.T.
Jenis Tangisan
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah). Ada tangisan takut dan gerun (al-khauf wa al-khashyah). Ada tangisan cinta dan rindu (al-mahabbah wa ash-syauq). Ada tangisan suka dan gembira (al-farh wa as-surur). Ada tangisan kerana dukacita (al-hazn).
Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah
dukacita berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang
belum berlaku. Tangisan gembira airmatanya sejuk dan jantung hati
sukacita. Tangisan sedih airmatanya panas dan jantung hati pula
berdukacita.
Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f). Ada pula tangisan munafiq (an-nifaq)
di mana mata menangis sedangkan kalbu keras. Dia menzahirkan kusyuk
padahal dialah orang yang paling keras jantung hatinya. Ada tangisan
yang diupah dan dibayar. Ini seperti tangisan meratapi mayat yang
dibayar upahnya. Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah) di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah ar-Risalah).
Tangisan Indah
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah
adalah tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu
indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia
Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan, ataupun gerun
kepadaNYA. Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan
dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya
menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada
kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang
telah merasainya. Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.
Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai
nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah
zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.
Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)
“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).
Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)
“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” (Surah al-Isra`: 107-109)
Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis terhadap ayat-ayat Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis?” (Surah al-Najm: 59-60).
Berusaha
Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga
kerana rindukan Allah. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi
sesiapa yang tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari
kekotoran yang menyalutinya. Ia adalah ubat kepada segala dukacita
dunia. Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan
satu sentapan yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah
lautan kenikmatan rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa.
Airmata kusyuk itu amat segar dan menyejukkan jiwa.
Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang
selalu dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur. Nikmat inilah yang
dirasai oleh sesiapa yang mengikut jalan salafus soleh dengan ikhlas dan mencari hidayah Allah.
Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia
kadang-kala hanya hadir dalam waktu-waktu tertentu, namun ia adalah amat
bermakna untuk jiwa. Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan
rindukan Allah. Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang
mendapat perindungan Allah pada hari Akhirat kelak, salah satunya:
“lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Abdullah bin ash-Shakhir:
“Aku masuk kepada Rasulullah s.a.w, baginda sedang bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih)
Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan
dirinya dalam mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah
adalah mata yang soleh. Tangisan keinsafan adalah satu kurniaan Allah
buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara mata dari api neraka. Nabi
s.a.w menyebut:
“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hasan gharib. Al-Albani menyatakan sahih).
Menangislah
Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai
tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut
kepada Allah atas kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah
cabul ataupun kurangkan. Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadapNYA.
Rindukan cintaNYA dan gerunkan kebesaranNYA. Dalam kalangan salafussoleh
ada menyebut:
“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).
Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal.
Ketika dia dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya. Salman
menangis. Sa’ad bertanya:
“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah s.a.w telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”. “Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)
Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.
Kita semua lebih patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi
Nabi s.a.w yang mulia itu. Menangis mengenang diri kita dan kekurangan
yang telah kita lakukan terhadap hak-hak Allah. Menangislah wahai mata!
Di sana engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu.
http://drmaza.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan