Pemuda-pemuda
yang mempunyai sifat cepat marah dan panas baran mesti ubati sifat
tersebut dengan segera. Jika tidak, nanti apabila sudah berumahtangga,
isteri dan anak-anak pasti akan menjadi mangsa baran kalian itu.
Telah banyak
isteri dan anak-anak yang bukan sahaja dimarah dan ditengking akibat
perkara-perkara kecil, bahkan ada juga yang telah dilempang, ditumbuk
dan ditendang oleh suami akibat panas baran yang menggila. Sungguh, ini
bukan sifat suami yang mudah masuk Syurga!
Saya baru sahaja mendapat
berita mengenai seorang kenalan di perumahan lama saya yang mana beliau
selalu dipukul dan malah ditumbuk oleh suaminya. Bahkan yang lebih
teruk ialah ketika beliau sedang pantang pun, buku lima suaminya pernah
menghentam tubuhnya. Anak lelaki mereka juga pernah ditumbuk. Dan anak
perempuan mereka acap kali juga diugut dengan penumbuk ayahnya itu. Inna lillahi wa inna ilaihi raji`uun. Terkejut bercampur sedih. Tergambar wajah-wajah anak mereka yang mana mereka sama sekolah dengan anak-anak saya. Kasihan.
Inilah bahana baran dalam rumahtangga!
Hal sebegini bukan baharu berlaku dalam
masyarakat kita. Bahkan berlaku zaman-berzaman. Tapi apabila ia
berlaku berhampiran dengan kita dan kita kenal pula dengan ahli keluarga
mereka, maka berita ini cukup terkesan pada hati saya.
Bukan senang menjalani
kehidupan berumahtangga dan mentadbir ahli keluarga. Kesabaran adalah
antara aset utama buat suami yang telah diamanahkan meneraju keluarga.
Sebab perangai isteri dan anak-anak memang kadang-kadang, bahkan selalu
juga cuba merobek kesabaran si ketua keluarga. Apatah lagi ketika
diuji dengan kesusahan, kesempitan, musibah, kemalangan, sakit dan
sebagainya yang sudah pasti sangat-sangat menggoncang emosi.
Itulah
ujian. Ada kala diuji ringan. Adakalanya berat. Selalunya kita lupa
bahawa itu semua adalah ujian dari Yang Maha Pencipta. Dengan ujian,
ada manusia berjaya dan ada yang gagal. Pada kesabaran ada pahala.
Pada baran ada dosa.
Kalian pemuda-pemuda mesti cuba ubati
sifat baran tersebut jika ada. Ia tidak mudah dan tidak hilang begitu
sahaja. Memang ambil masa. Namun mesti diusahakan dari sekarang,
sebaik-baiknya sebelum memasuki alam rumahtangga. Langkah demi langkah
cuba mengatasinya. In shaa’ ALLAH berjaya.
Cara Yang Ampuh
Antara cara yang ampuh menghilangkan atau
mengurangkan baran ialah banyakkan membaca kisah kehidupan Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Di dalamnya banyak contoh
tauladan bagaimana menjadi manusia yang terbaik di sisi ALLAH `Azza wa
Jalla, disayangi penduduk langit dan bumi. Sungguh pada diri Rasulullah
sallAllahu `alaihi wa sallam itu contoh ikutan terbaik buat seluruh
manusia. Khususnya buat manusia-manusia yang dambakan redha ALLAH dan
mahukan kebaikan pada Hari Akhirat.
Kenali dan hayatilah susuk paling mulia ini – Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Baca dan dengarlah hadith-hadith Baginda.
Melaluinya kita akan dapat mengenali
bagaimana santunnya Nabi, sabarnya Nabi, mesranya Nabi, hikmahnya Nabi,
merendah dirinya Nabi, penyayangnya Nabi dan betapa Nabi selalu
menyenangkan hati semua orang terutama ahli keluarganya. Banyak
riwayat-riwayat dari para sahabat Baginda radhiAllahu `anhum yang
menceritakan bagaimana sempurnanya akhlaq Rasulullah sallAllahu `alaihi
wa sallam.
Di dalam hadith-hadith Nabi ada motivasi
segar supaya kita sabar dan sentiasa berbuat baik. Juga terdapat di
dalamnya ancaman buat orang-orang yang melampaui batas.
Ada orang yang telah menjadi lebih baik
hasil dari melazimi membaca hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam. Barannya semakin hilang, ammarahnya semakin jinak, sifat
terburu-burunya semakin menenang, gilanya semakin merasional dan jiwanya
sedikit demi sedikit diganti dengan akhlaq mulia persis Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam. Ini semua hidayah dan taufiq dari ALLAH
Jalla wa A`la. Dan hidayah dan taufiq bukan untuk ditunggu, tapi mesti
diusaha.
Mencontohi sifat Nabi Muhammad sallAllahu
`alaihi wa sallam adalah asas persediaan menjadi suami yang baik dan
bapa yang penyayang. Inilah formulanya!
Ubati sekarang sifat baran itu. Dengan
hilangnya sifat buruk itu, keluarga yang kalian bina akan lebih bahagia,
lebih tenang, lebih banyak senyum dan ketawa dalam rumahtangga, tiada
isteri dan anak yang dizalimi, perceraian dapat dielakkan dan kalian
akan masuk syurga, in shaa` ALLAH.
- muzir.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan