Awas
penggemar nasi goreng, ayam goreng dan keropok ikan kerana hidangan
kegemaran rakyat Malaysia itu kini tergolong antara makanan paling
tinggi kandungan garam, sekali gus berisiko tinggi menyumbang kepada
serangan jantung dan angin ahmar.
Tiga hidangan itu adalah antara 10
makanan tinggi garam yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan selain ikan
goreng, kicap soya, sos tomato dan cili, ikan bilis, kari ikan, kari
lembu dan kambing, bebola ikan dan udang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S
Subramaniam berkata, laporan mengenai hidangan tinggi garam itu dibuat
dalam satu kajian rintis oleh Institut Kesihatan Umum pada 2011 hingga
Februari 2012 yang dilakukan dalam kalangan anggota kesihatan di
Malaysia.
Beliau berkata, hasil analisis
menunjukkan purata pengambilan garam dalam kalangan anggota kesihatan
adalah 8.7 gram (g) sehari atau bersamaan 3,405 miligram sodium sehari
iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan pengambilan garam
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram sehari.
“Seseorang yang mengambil paras natrium
(sodium) yang tinggi dalam darah berisiko untuk menghidap hipertensi
seterusnya berisiko mendapat serangan jantung dan strok.
“Berdasarkan Kajian Beban
Penyakit di Malaysia, penyakit jantung dan strok adalah di antara lapan
penyakit utama yang membebankan negara kita dari segi kewangan dan
kualiti gaya hidup rakyat,” katanya pada sidang media selepas
melancarkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia Ke-7, di sini, semalam.
Dr Subramaniam berkata, kajian juga
mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia dewasa berusia 18 tahun ke
atas kini menghidap penyakit hipertensi dipercayai akibat pengambilan
garam berlebihan setiap hari.
Beliau berkata, kajian sama juga
menunjukkan kicap soya adalah antara makanan utama yang menyumbang
kepada kandungan garam tinggi.
Menurutnya, golongan lelaki didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita.
“Bagaimanapun, pihak industri makanan di
Malaysia turut menyokong usaha kementerian untuk mengurangkan kandungan
garam dalam produk keluaran masing-masing.
“Hasilnya, sejak 2011 hingga 2013,
sebanyak 30 jenis makanan di pasaran tempatan yang mempunyai kandungan
garam tinggi dikurangkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40
peratus daripada tahap asal,” katanya.
Katanya, antara makanan berkenaan termasuk biskut, kicap, mi segera, makanan ringan, daging beku, perasa tiruan dan sapuan roti.
http://www.mummynemo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan