Isnin, 5 Mei 2014

Oh Yeah...Motosikal Yang Menggunakan UDARA Untuk Bergerak!

Sebuah syarikat perusahaan dari Amerika Syarikat, Zero Pollution Motors telah melakukan satu revolusi dalam dunia pengangkutan darat apabila memperkenalkan sebuah motosikal yang dikuasakan oleh udara.


Green Speed - Zero Pollution Motors  

Motosikal yang diberi nama Green Speed tidak menggunakan petrol atau diesel, sebaliknya bergerak menerusi penggunaan bahan penggerak yang diproses daripada tekanan udara atmosfera.

Motosikal yang dicipta oleh Edwin Conan ini adalah inisiatif untuk mengurangkan pencemaran gas karbon dioksida di dunia. Ia adalah satu projek berpanjangan untuk menggalakkan matlamat syarikat-syarikat pengeluar kenderaan bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.



Objektif utama projek ini juga adalah untuk menyedarkan penduduk dunia khususnya tentang peningkatan suhu bumi dan masalah penipisan lapisan ozon yang semakin ketara yang akan mengancam kehidupan di bumi jika tidak diatasi dengan segera.

Selain itu juga, ia merupakan salah satu alternatif bagi menggantikan sumber bahan api fosil yang semakin terhad.

Secara asasnya, reka bentuk Green Speed diadaptasi daripada motosikal Suzuki GP100 yang popular disekitar tahun 1970an.


Suzuki GP100  

Namun, disebabkan ia hanya menggunakan udara sebagai sumber bahan penggeraknya, rekaan motosikal ini tidak mempunyai tangki minyak, mesin motor yang konvensional serta kotak gear. Yang ada hanyalah komponen asas seperti badan dan rangka motor, roda dan brek sahaja.

Dan apa yang dilakukan Edwin Conan untuk menggerakkan kenderaan ini ialah dengan menggantikan motor asalnya kepada mesin revolusi yang mampu mengolah udara menjadi tenaga penggerak motosikal ini.

Mesin ini bersaiz kompak dan ringan, yang mempunyai keupayaan untuk memampatkan udara di sekitarnya dan mampu mengolah udara sehingga mampu menghasilkan putaran sehingga 3,000 r.p.m.

Disebabkan itulah, motosikal Green Speed ini tidak memerlukan komponen-komponen seperti kebanyakan motosikal yang ada pada hari ini. Hanya sekadar mempunyai satu gear sahaja untuk ia berfungsi memutarkan rantai dan seterusnya menggerakkan roda kenderaan.

Selain itu, Zero Pollution Motors turut melakukan pengubahsuaian dengan menambahkan panel solar bagi menghasilkan kuasa tambahan yang diperlukan oleh motosikal ini. Ia bertujuan untuk membantu mesin tersebut menekan udara dan menyimpannya di dalam tangki yang tersedia, serta meningkatkan jarak perjalanan seoptimum mungkin.

Rangka motosikal Green Speed juga turut dicipta dengan kadar aerodinamik yang tinggi bagi mengurangkan rintangan angin.

Malah, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan komponennya dibuat daripada bahan yang ringan dan tahan lasak seperti serat karbon bagi mencapai kelajuan maksimum 80 kilometer sejam.

Setakat ini, ia telahpun dipandu uji dalam sesi jelajah sejauh 1,000 kilometer. Jelajah tersebut telah mengambil masa hampir sebulan dengan berhenti di beberapa lokasi bagi menerangkan penggunaannya kepada masyarakat.

Secara asasnya, kenderaan ini bergerak menggunakan kuasa tekanan udara yang termampat. Tekanan ini akan menghasilkan suhu yang tinggi, seterusnya akan mengolah tekanan tersebut bagi menghasilkan putaran yang maksimum untuk menggerakkan kenderaan.

Penciptaan kenderaan iini adalah suatu inisiatif yang cukup baik kerana ia sangat ekonomi untuk digunakan, kos penyelenggaraannya yang rendah, sumber penghasilan yang mudah diperolehi dan tidak menghasilkan bahan atau sisa yang mencemarkan serta menjimatkan tenaga.

Cuma, teknologi ini dilihat mempunyai sedikit kelemahan kerana strukturnya yang terlalu ringan dan boleh mengundang bahaya kepada penunggang.

-Sentiasapanas.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...